GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Terengganu: Sebanyak 40 tan durian pelbagai jenis termasuk gred premium dapat dinikmati pada harga berpatutan sempena program 'Makan Durian Sampai Jeluok' di dataran Jambatan Angkat pada 1 dan 2 September ini.

Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, acara jualan secara lelong itu akan bermula 3 petang sehingga semua stok durian habis dijual.

Beliau berkata, lebih 200 pekebun dari seluruh Terengganu akan menyertai program yang julung kali dianjurkan oleh pihaknya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

"Antara jenis durian yang akan dijual ialah Musang King, Black Thor, D2, Kucing Tidur dan banyak lagi yang harganya dijamin lebih rendah daripada harga pasaran atau di luar.

"Kami menjangkakan lebih 20,000 peminat durian akan hadir merebut peluang keemasan ini," katanya kepada Bernama.

Zulkepli Amin berkata, selain membantu pekebun memasarkan hasil jualan, program itu juga bertujuan memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan menikmati durian segar yang harganya agak tinggi di pasaran.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun pengeluaran durian di kebun-kebun termasuk di Terengganu pada tahun ini agak banyak, tidak berlaku lambakan dan harganya masih stabil berikutan permintaan tinggi daripada negeri lain.

"Musim durian tak sama di semua negeri. Contohnya musim durian di Pahang dah habis...tetapi di Terengganu baru mula. Jadi buah dari sini boleh dihantar ke Pahang dan negeri lain termasuk Selangor.

"Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) juga memiliki kemudahan pusat pemprosesan durian di seluruh negara, jadi tak risau kalau berlaku lebihan atau lambakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 2:35 PM