Minyak masak subsidi paket satu kilogram dan tepung gandum yang dirampas di Kompleks ICQS Bukit Bunga. FOTO IHSAN KPDNHEP
Minyak masak subsidi paket satu kilogram dan tepung gandum yang dirampas di Kompleks ICQS Bukit Bunga. FOTO IHSAN KPDNHEP
Hidayatidayu Razali

Tanah Merah: Tindakan pasangan suami isteri warga Thailand yang cuba menyeludup tepung gandum dan minyak masak subsidi peket satu kilogram (kg) gagal apabila ditahan dalam operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga di sini, semalam.

Pasangan masing-masing berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan oleh sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan antara 8 pagi hingga 6 petang.

Pengarah KPDNHEP Kelantan Azman Ismail berkata, pihaknya turut merampas tepung gandum sebanyak 530 kilogram (kg) dengan nilai sitaan RM1,272 dan minyak masak paket satu kg sebanyak 102 kg dengan nilai RM255 serta sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux bernilai RM80,000.

Menurutnya, ketika pasukan sedang menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa kenderaan, didapati sebuah kenderaan nombor pendaftaran negara asing dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bahagian belakang kenderaan penuh dengan muatan barang kawalan tepung gandum dan minyak masak subsidi bernilai RM1,527.

"Barang kawalan dan Toyota Hilux dengan nilai keseluruhan RM81,527 disita.

"Pasukan juga bertindak menahan pasangan suami isteri itu yang juga warganegara asing untuk tindakan lanjut.

"Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan.

Katanya, suami isteri itu direman selama empat hari bermula hari ini iaitu lelaki di lokap di Balai Polis Tanah Merah, manakala wanita di Balai Polis Batang Merbau.

"KPDNHEP Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 1:39 PM