Anggota KPDNHEP memeriksa minyak masak sebelum merampas dan menyitanya dalam serbuan di sebuah syarikat pembungkusan minyak masak di Ipoh hari ini. Foto Ihsan KPDNHEP
Anggota KPDNHEP memeriksa minyak masak sebelum merampas dan menyitanya dalam serbuan di sebuah syarikat pembungkusan minyak masak di Ipoh hari ini. Foto Ihsan KPDNHEP
Muhammad Apendy Issahak


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas dan menyita sebanyak 4,864 kilogram (kg) minyak masak dalam serbuan di sebuah syarikat pembungkusan minyak masak di Ipoh hari ini.

Rampasan dibuat susulan pemilik syarikat terbabit gagal menyelenggara buku stok serta dipercayai menjual minyak masak kepada pembeli yang tidak mempunyai lesen.

Serbuan pada 11 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengaku sebagai pemilik premis untuk dirakam percakapan dan membantu siasatan.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak V Ravichandran berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dan pengauditan terhadap 22 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh negeri Perak bagi memastikan bekalan semasa mencukupi untuk kegunaan pengguna.

Menurutnya, keseluruhan kuota subsidi minyak masak yang diperuntukkan kepada semua syarikat berkenaan adalah sebanyak 2,814 tan matrik sebulan.

“Hasilnya, KPDNHEP Perak mengambil tindakan terhadap syarikat pembungkus minyak masak yang beroperasi di Ipoh kerana kegagalan untuk menyelenggara buku stok minyak masak.

“Siasatan awal mendapati pemilik berkenaan mempunyai lesen borong barang kawalan minyak masak yang sah dan ketika serbuan seorang lelaki mengaku sebagai pemilik premis ditahan untuk diambil rakaman percakapan sebelum dibebaskan.

“Pemilik berkenaan mengakui gagal menyelenggara buku stok seperti peruntukan undang-undang dan semakan rekod penjualan juga mendapati syarikat itu disyaki menjual kepada pembeli tidak mempunyai lesen atau kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ravichandran berkata, sehubungan itu pihaknya bertindak menyita sebanyak 4,864 kg minyak masak dan beberapa dokumen membabitkan rekod pembelian dan penjualan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Semua barang rampasan ini dianggarkan bernilai RM12,106 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, keseluruhan tindakan kes dan nilai rampasan oleh KPDNHEP Perak bagi Januari tahun ini hingga semalam adalah sebanyak 1,138 kes dengan nilai rampasan adalah RM1,8 juta dan kompaun sebanyak RM156,540 selain denda RM49,100.

“Pembekal atau pemborong dinasihatkan supaya hanya membekalkan barang kawalan seperti petrol, diesel, LPG, gula, tepung gandum dan minyak masak kepada pembeli yang mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia sahaja.

“Pengguna boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti penyelewengan ini ke mana-mana cawangan KPDNHEP berdekatan untuk mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:32 PM