PENGANUT agama Hindu sekitar ibu kota membuat persiapan menjelang sambutan Deepavali di Little India, Brickfields. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
PENGANUT agama Hindu sekitar ibu kota membuat persiapan menjelang sambutan Deepavali di Little India, Brickfields. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Premis yang menjual pakaian dan barangan lain dengan harga berpatutan menjadi antara lokasi tumpuan penganut agama Hindu di ibu kota membuat persiapan menjelang sambutan Deepavali, esok.

Tinjauan Harian Metro di Little India, Brickfields, di sini, mendapati orang ramai sudah memenuhi di hadapan premis dan gerai jualan seawal 10 pagi.

Suasana di kawasan Little India meriah dengan orang ramai tidak melepaskan peluang membeli pakaian baharu, perhiasan seperti gelang, bunga, kuih raya dan manisan untuk perayaan itu.

Ibu seorang anak, A Asupathy, 45, berkata, dia datang bersama anak lelakinya untuk membeli barang persiapan untuk kegunaan sembahyang dan hiasan rumah selain gelang perhiasan untuk digayakan dengan sari baharu dipakainya esok.

Menurutnya, dalam kegembiraan menyambut perayaan itu, dia membuat belanjawan khas bagi memastikan perbelanjaan keluarga mereka terkawal kerana keadaan kos barangan keperluan yang masih belum stabil.

"Situasi sekarang membuatkan kita perlu bijak berbelanja. Saya hanya membeli barang yang memang penting sahaja buat masa ini dan beli di premis yang menawarkan harga berpatutan atau beli secara pukal untuk harga yang lebih murah.

"Tetapi perayaan tetap akan disambut meriah walaupun sederhana sahaja, malah untuk kami tahun ini memang lebih sangat gembira kerana semua ahli keluarga berkumpul di sini," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta yang hanya dikenali sebagai Rita berkata, keluarganya sudah membuat persiapan awal termasuk bahan memasak untuk esok.

Katanya, sambutan perayaan keluarganya juga sederhana dan dia juga lebih memilih kedai pakaian serta barang basah yang menawarkan berpatutan untuk membuat persiapan.

"Raya tetap raya walaupun harga barang naik. Saya mahu keluarga gembira esok jadi saya akan menyediakan makanan terbaik untuk mereka.

"Saya juga cuba cari kedai yang tawarkan harga lebih berpatutan tetapi ada juga barang mahal terpaksa juga beli untuk memasak juadah raya. Baju raya pun kami beli yang berpatutan sahaja asalkan cantik dan selesa dipakai," katanya.

Sementara itu, peniaga kuih dikenali sebagai Dewi, 34, berkata, dia terpaksa menaikkan harga lapan jenis kuih raya dijual tahun ini berbanding tahun lalu kerana memikirkan kos pembuatan yang tinggi susulan harga barang meningkat.

Bagaimanapun katanya, sambutan pelanggan tetap mengalakkan dan 70 peratus jualannya sudah terjual sejak lima hari lalu.

"Tahun lepas saya jual kuih RM25 sebekas tetapi tahun ini RM30 kerana barang mahal jadi untuk sedikit keuntungan terpaksa naikkan harga. Kami bagi potongan harga RM10 untuk pembelian lima jenis kuih.

"Pelanggan ada yang mengadu harga mahal tetapi bila kita terangkan mereka faham dan mengakui situasi ketika ini menyebabkan harga jualan juga menjadi mahal," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 2:02 PM