AHMAD Ridhwan (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan Geng Gopi. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat.
AHMAD Ridhwan (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan Geng Gopi. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat.
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Ketua Geng Gopi bersama tiga ahlinya ditahan polis dalam tempoh beberapa jam selepas melakukan jenayah pecah rumah di Batu 10, Telok Panglima Garang di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, semua mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan secara berasingan di Shah Alam dan Klang antara 6 petang hingga 11 malam Selasa lalu.

Katanya, tiga suspek ditahan di premis kimpalan paip terbiar di Seksyen 36, Shah Alam, manakala ketua kumpulan ditahan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang.

"Terdahulu pada Selasa lalu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 51 tahun pada 4.30 petang yang mendakwa rumahnya dipecah masuk individu tidak dikenali dan memaklumkan bahawa beberapa barangan miliknya seperti topi keledar, pasport dan kunci kereta hilang.

"Hasil maklumat, polis kemudian menyerbu sebuah premis kimpalan paip yang sudah lama tidak beroperasi di Shah Alam dan menahan tiga suspek.

"Soal siasat kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki dipercayai ketua kumpulan. Turut ditemui adalah pasport milik mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, pemeriksaan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, manakala ketua kumpulan memiliki 21 rekod jenayah.

Katanya, Geng Gopi dipercayai aktif sejak dua tahun lalu dan dengan penahanan mereka, pihaknya percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan Telok Panglima Garang serta Klang.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan iaitu memecah masuk rumah dan mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 8:30 PM