LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Saadiah Ismail


Kuala Lumpur: "Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya tidak kira bangsa dan agama kerana mereka faham dan tahu saya dizalimi," kata guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang tular berikutan lantang membicarakan kepincangan sistem pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, maksud dizalimi itu ialah tidak sepatutnya tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dikenakan ke atasnya, walaupun mungkin ada salah silap daripada pihaknya sendiri.

Katanya, bagaimanapun, perjuangannya untuk merubah silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai akan diteruskan.

"Itu adalah perjuangan asal saya dan saya mahukan perubahan dalam pendidikan. 'Kerosakan' itu perlu dibaiki tetapi bukan semuanya 'rosak', kerana masih ada yang baik lagi.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor yang mewakili saya dalam kes ini," kata guru sekolah rendah di Gombak, Selangor.

Hari ini, satu surat daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan mendedahkan yang mana ia memutuskan ketiga-tiga pertuduhan terhadap Mohd Fadli didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.

Mohd Fadli, guru sekolah rendah di Gombak, Selangor tiga hari lalu berkongsi surat tindakan diterimanya di Facebook, susulan kelantangan beliau membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan keupayaan pelajar.

Beliau juga sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 8:07 PM