Mohd Fadli Mohamad Salleh.
Mohd Fadli Mohamad Salleh.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Perjuangan saya untuk mengubah benda yang rosak supaya rakyat lebih hormat kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," kata guru matematik, Mohd Fadli Mohamad Salleh.

Beliau berkata, jangan terus jadikan masa depan anak murid sebagai pertaruhan dengan silibus dan dasar yang tidak sesuai.

"Mungkin dasar yang dibuat atas kertas sangat baik namun pelaksanaannya tidak seperti yang diharapkan," katanya menerusi siaran langsung di Facebook, malam ini.

Mohd Fadli yang juga guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak berkata, sistem pendidikan negara juga perlu diasingkan daripada pengaruh politik agar tiada campur tangan dalam sebarang keputusan.

Beliau berkata, wujud pegawai yang hanya sering menceritakan pencapaian kepada pegawai atasan dan Menteri walaupun realiti adalah sebaliknya.

Justeru, katanya, penjawat awam perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan mengenai kepincangan dalam dasar kerajaan.

Menurutnya, keadaan ini perlu dinilai semula bagi memastikan pandangan yang diberikan dapat memberi tambah baik dalam sistem penyampaian.

Mohd Fadli berkata, selaku pelaksana sudah pasti penjawat awam seperti guru mengetahui keadaan sebenar yang perlu di peringkat bawahan.

"Parti mana yang memerintah selepas Pilihan Raya Umum akan datang tolong ubah dasar ini supaya idea yang diutarakan tidak disekat.

"Benarkan kebebasan bersuara untuk hal yang sesuai dan kritikan membina agar idea tidak disekat.

"Jika tidak setuju dengan cadangan atau kritikan yang dibuat, maka pegawai atasan boleh berhujah secara ilmiah," katanya.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya, Mohd Fadli berterima kasih kepada netizen yang tidak henti menyokongnya untuk memperjuangkan isu pendidikan.

Katanya, sokongan yang diterima juga menyebabkan isu ini mendapat perhatian Perdana Menteri dan Menteri Kanan Pendidikan.

"Saya berjuang bukan disebabkan mahukan pangkat tapi mahu anak murid mendapat hak pendidikan lebih berkualiti dan KPM dipandang tinggi.

"Apabila ada cacat (kekurangan), mereka perlu terima dengan hati terbuka dan ini membolehkan sistem pendidikan kita dipandang tinggi," katanya.

Hari ini, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan Mohd Fadli yang juga guru matematik tidak bersalah susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.

Menerusi surat keputusan yang tular di laman sosial petang ini, Mohd Fadli juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Berdasarkan surat berkenaan, guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 10:04 PM