Radzi Jidin.
Radzi Jidin.
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mahu berjumpa guru yang mendakwa berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan masalah silibus aras tinggi bagi subjek Matematik dan isu beg berat murid.

Beliau menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi memaklumkan ingin mengetahui lebih lanjut perkara dibangkitkan guru berkenaan, Mohd Fadli Mohamed Salleh.

"Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa," katanya.

Terdahulu, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Mohd Fadli menerusi Facebooknya berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang masalah disiplin atau menghadapi masalah dengan ibu bapa murid.

Beliau yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan bahawa beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana berdepan tiga pertuduhan.

Pertuduhan itu ialah kerana memuat naik hantaran di Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Beliau juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

"Saya hanya berkata jujur mengenai beg berat bahaya kepada anak-anak, silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri. Bilangan murid yang ramai dalam kelas. Subjek yang banyak murid belajar, masa belajar untuk subjek teras terutamanya matematik tidak mencukupi.

"Jadi kenapa KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) nak buang saya? Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran. Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengar luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji-puja sahaja," katanya.

Mohd Fadli mendakwa, sebelum bertindak bersuara di media sosial, beliau terlebih dahulu menggunakan saluran disediakan KPM, namun tiada respons.

Mengikut surat itu, bagi ketiga-ketiga perbuatan berkenaan, Mohd Fadli boleh ditafsirkan sudah melanggar Peraturan 19(1)(c), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat terbabit.

Mohd Fadli juga memaklumkan sudah pun mengambil khidmat peguam bagi memperjuangkan nasibnya yang hanya bersuara untuk masa depan sistem pendidikan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 9:15 AM