Zanariah Abd Mutalib


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi pembubaran Parlimen semalam dan setakat ini, empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sudah mengemukakan pemakluman rasmi pembubaran DUN masing-masing.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata, pihaknya sedang menunggu pemakluman rasmi negeri lain berhubung pembubaran DUN masing-masing sebelum mesyuarat berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

Jumlah pengundi berdaftar terkini adalah 14,940,627 orang manakala jumlah pusat mengundi ialah 8,898 dan saluran mengundi ialah 28,995 saluran.

Pembubaran diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

MOHD Hashim ketika sidang media selepas melawat bilik gerakan PRU14. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MOHD Hashim ketika sidang media selepas melawat bilik gerakan PRU14. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak, Perdana Menteri menasihatkan semua ketua kerajaan negeri untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing, kecuali Sarawak yang sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 7 Mei 2016.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen ke-13 daripada Najib berdasarkan Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan dan urusan bagi mengadakan PRU-14 adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 1:08 PM