DEWAN Undangan Negeri Kedah. FOTO arkib NSTP
DEWAN Undangan Negeri Kedah. FOTO arkib NSTP
Adie Suri Zulkefli


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dijangka menghadap Sultan Kedah, Ahad ini untuk memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahmad Bashah berkata, beliau akan menghadap Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk memohon perkenan membubarkan DUN susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini yang Parlimen akan dibubarkan esok.

“Selepas Perdana Menteri membuat pengumuman berkaitan pembubaran Parlimen, sememangnya tugas saya adalah untuk memohon perkenan Sultan Kedah untuk membubarkan DUN,” katanya selepas mengambil bahagian dalam acara ‘Fun Walk’ dan Jualan Sentuhan Rakyat di Taman Saga, Alor Mengkudu, hari ini.

Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 36 kerusi di Kedah pada pilihan raya umum yang lalu sekali gus merampas semula negeri itu daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang diketuai oleh PAS.

Dalam pilihan raya lalu, PAS hanya mampu mempertahankan sembilan kerusi manakala PKR memenangi empat kerusi dan diikuti oleh DAP dengan dua kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 2:37 PM