Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Mayat gelandangan dipercayai dibunuh dijumpai di lorong berhampiran kaki lima jalan Leong Sin Nam, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, lelaki berusia 68 tahun terbabit dipercayai dipukul dan ditendang oleh seorang lagi gelandangan berusia 51 tahun.

Difahamkan, suspek dipercayai marah dengan mangsa sebelum bertindak menyerangnya.

Polis yang menerima laporan pada jam 5.20 pagi membuat pemeriksaan di lokasi dan menahan suspek dalam masa singkat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, pekerja restoran yang enggan dikenali berkata, dia yang datang jam 3 pagi untuk menyediakan makanan terdengar bunyi pergaduhan berhampiran restoran pada jam 5 pagi.

"Saya mendengar orang bergaduh yang sangat kuat dan bunyi kaca pecah, saya kemudian keluar untuk melihat.

"Selepas itu, saya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui berhampiran lokasi pagi ini.

Katanya, gelandangan yang menjadi mangsa sememangnya kerap tidur di sekitar kawasan itu.

KESAN tompokan darah di lokasi kejadian. FOTO Balqis Jazimah Zahari
KESAN tompokan darah di lokasi kejadian. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 12:14 PM