Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Helikopter jenis Eurocopter dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu dimaklumkan dan disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) kepada beliau.

"Sebuah helikopter syarikat swasta yang terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 11.37 pagi dan terdapat seorang juruterbang dalam helikopter berkenaan.

"Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh pada jam 12.37 tengah hari.

"Helikopter telah hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada pukul 12.16 tengah hari tadi," katanya.

Beliau berkata, CAAM dengan kerjasama polis mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan lokasi sebenar helikopter berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya, satu kenyataan penuh akan dikeluarkan kelak oleh CAAM.

WEE Ka Siong menunjukkan peta lokasi dipercayai helikopter yang terputus hubungan ketika sidang media selepas membuat lawatan di Stesen Keretapi Ipoh.FOTO Balqis Jazimah Zahari
WEE Ka Siong menunjukkan peta lokasi dipercayai helikopter yang terputus hubungan ketika sidang media selepas membuat lawatan di Stesen Keretapi Ipoh.FOTO Balqis Jazimah Zahari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 4:41 PM