Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Tiada calon anak beranak dan terlalu berusia dikemukakan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, ini kerana parti komponen itu mempunyai ramai generasi pelapis dengan calon yang dikemukakan berusia 30-an hingga 50-an serta 60 peratus daripada senarai tersebut terdiri daripada muka baharu.

"Orang lama (jika) gabungkan dalam 40 peratus. Insya-Allah kita akan bawa generasi baharu dan beri peluang kepada orang muda.

"BN Pulau Pinang tiada calon berumur lebih 90 tahun. Kita juga tiada calon anak beranak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kongres India Muslim (KIMMA) di sini, malam tadi.

Musa berkata, senarai calon 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 kerusi Parlimen telah diserahkan kepada pucuk pimpinan BN Pusat Rabu lalu dan difahamkan nama-nama berkenaan turut akan dihantar untuk tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, secara keseluruhan pembahagian kerusi DUN kekal seperti PRU-14 iaitu UMNO (15), MCA (10) dan MIC (2) manakala 13 kerusi GERAKAN akan diagihkan sesama mereka tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan.

Bagi kerusi Parlimen UMNO akan bertanding di lima kawasan, MCA empat manakala baki empat kerusi yang ditandingi GERAKAN sebelum ini turut akan diputuskan pimpinan BN untuk dibahagikan sesama parti komponen.

MUSA Sheikh Fadzir pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya KIMMA di Dewan Bangunan UMNO Tanjung, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
MUSA Sheikh Fadzir pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya KIMMA di Dewan Bangunan UMNO Tanjung, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

Musa berkata beliau turut mengemukakan rayuan untuk memberi sekurang-kurangnya satu kerusi DUN Pulau Pinang yang diperuntukkan kepada GERAKAN sebelum ini kepada KIMMA atas dasar kesetiaan yang ditunjukkan parti itu sejak ditubuhkan 46 tahun lalu.

"Meskipun kita pernah kalah, KIMMA tidak tinggalkan kita seperti parti lain yang hanya mahu berkongsi tatkala kita gembira saja.

"Jadi saya rasa wajar berikan mereka sekurang-kurangnya satu kerusi selain saya tahu penyeksaan menunggu selama lebih 40 tahun itu," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu berkata beliau tidak akan bertanding namun menjangka pertambahan bilangan kerusi yang akan dimenangi pada PRU-15 nanti.

Sebagai rekod, UMNO Pulau Pinang hanya memenangi dua kerusi DUN iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua pada PRU-14.

"Tiap-tiap nak bertanding mesti ada keyakinan untuk menang itu terserah kepada rakyat. Tapi bagi saya bukan dua kerusi macam hari ini.

"Pertambahan (kerusi yang menang) akan berlaku bukan nak takbur. Jadi bila kita nak lawan, kita masuk gelanggang (kalau) kita nak menang, kita kena ada keyakinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 10:55 AM