Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. FOTO Arkib NSTP
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. FOTO Arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi membolehkan pemilihan wakil rakyat dilakukan serentak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi BN negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pembubaran serentak itu menjimatkan kos dalam berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Dalam keadaan ekonomi baru sedang kembali rancak kita rasa baik Dun dibubarkan serentak agar tiada kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan bagi melaksanakan PRN.

"Bagaimanapun, jika kerajaan negeri masih enggan membubarkan Dun ia secara langsung mereka menunjukkan kuasa dalam pemerintahan negeri. Sejak awal lagi mereka (kerajaan Pakatan Harapan) tak setuju pembubaran Parlimen jadi mereka guna kuasa yang ada di negeri untuk menunjukkan tentangan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, semua parti harus menerima hakikat pembubaran Parlimen susulan ia telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Memang kita tak setuju Parlimen dibubarkan kerana rakyat baru hendak memulakan kehidupan selepas pandemik Covid-19 selain faktor sara hidup ketika ini.

"Tetapi jika kita buat PRU-15 dan PRN secara berasingan ia akan menelan kos yang besar kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat dua kali perbelanjaan.

"Selain itu, ia juga boleh mengelirukan warga emas mengapa mereka perlu keluar dua kali untuk mengundi dalam tempoh yang singkat," katanya.

Tong Keong berkata, keputusan pembubaran Parlimen sudah tidak boleh diubah jadi dia mengharapkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) akan turut mengumumkan pembubaran Dun demi rakyat serta negara.

"Gerakan Pulau Pinang sudah bersiap sedia menghadapi PRU-15 dan kita akan cuba mengembalikan mandat rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 6:04 PM