ANGGOTA bomba bersama orang awam menolak kereta Perodua Myvi yang tersangkut di pesisir Pantai Sentosa, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba bersama orang awam menolak kereta Perodua Myvi yang tersangkut di pesisir Pantai Sentosa, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Pelik apabila Perodua Myvi yang sinonim dengan gelaran 'King' tersangkut di pesisir Pantai Sentosa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, kereta terbabit dinaiki lelaki warga emas berusia 64 tahun dan dua beranak iaitu wanita berusia 57 tahun dan anak perempuannya berusia 20 tahun.

Difahamkan, semasa kejadian ketiga-tiga mangsa sedang mencari siput di kawasan terbabit.

Seorang daripada mangsa menyedari air mulai pasang dan cuba mengalihkan kereta namun tidak berjaya disebabkan tayar terbenam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.08 petang.

KEADAAN kereta Perodua Myvi yang tersangkut di pesisir Pantai Sentosa, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN kereta Perodua Myvi yang tersangkut di pesisir Pantai Sentosa, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan awal, didapati Perodua Myvi berkenaan tersangkut di pantai. Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun diselamatkan orang awam.

"Pihak bomba dengan bantuan orang awam menolak kereta terbabit ke jalan ban," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu air naik hingga separuh bahagian kereta iaitu paras pintu.

Norazam berkata, operasi menarik Perodua Myvi itu mengambil masa kira-kira 40 minit dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengunjung supaya tidak memarkir kenderaan di tebing pantai bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Meskipun pesisir pantai luas ketika air surut, tindakan meletakkan kenderaan mengundang bahaya terutamanya jika air mulai pasang.

"Kita tidak menggalakkan orang awam parkir di tebing pantai kerana pasir pantai tidak padat dan berisiko mengakibatkan kenderaan mereka tersangkut," katanya.

Menurutnya, operasi menyelamat menjadi lebih sukar dan berbahaya sekiranya kenderaan ditenggelami air, lebih-lebih lagi air pasang.

Terdahulu, tular di laman Facebook memaparkan gambar Perodua Myvi tersangkut di pesisir Pantai Sentosa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:34 PM