Syed Saddiq.
Syed Saddiq.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Kepada keluarga Muo (Muar) yang disayangi, tugas rasmi saya penggal ini sebagai Ahli Parlimen anda telah tamat. Saya telah buat yang sebaik mungkin untuk semua," kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sambil melampirkan beberapa keping gambar dalam paparan di Facebook (FB), beliau yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut menyatakan keinginan untuk berkhidmat sekali lagi sebagai wakil rakyat jika diberikan mandat.

"Insya-Allah, kalau diberi mandat, saya ingin berkhidmat lagi. Yang berkhidmat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya di FB sejurus pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Terdahulu, menerusi siaran langsung televisyen dan platform media sosial Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan pada 3 petang hari ini, selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.

"Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke 14 dibubarkan pada hari ini (Isnin 10 Oktober 2022)," katanya dalam pengumuman khas berkenaan perkara itu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 7:04 PM