ANGGOTA bomba melakukan penilaian risiko terhadap bahan kimia yang dipercayai tumpah di tepi Sungai Langat.
ANGGOTA bomba melakukan penilaian risiko terhadap bahan kimia yang dipercayai tumpah di tepi Sungai Langat.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Sabotaj? Itu persoalan yang timbul apabila pihak berkuasa menemukan 19 tong mengandungi bahan kimia di tepi Sungai Langat berhampiran Taman Sri Reko, di sini, malam tadi.

Malah, satu daripada tong berkenaan dilaporkan ditemukan dalam keadaan terbuka.

Negara sebelum ini digemparkan dengan insiden pencemaran di beberapa sungai akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak hingga menjejaskan bekalan air di Lembah Klang yang memberi kesan kepada jutaan penduduk.

Mengulas penemuan kes pembuangan bahan kimia terbaharu itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.39 malam.

"Seramai 16 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam dikejarkan ke lokasi selain kehadiran beberapa anggota dari agensi lain.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat 19 tong mengandungi bahan kimia dipercayai bahan alkali yang ditemukan dibuang dalam keadaan terbaring berhampiran sungai berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat 13 tong berisi 200 liter bahan kimia terbabit, manakala enam tong mengandungi 25 liter bahan sama.

"Terdapat satu tong berisi 200 liter bahan kimia itu tumpah dalam kuantiti sikit di bahagian penutup yang tidak membahayakan alam sekitar dan nyawa manusia.

"Tindakan awal dilakukan oleh pasukan kualiti alam iaitu konsultan bertanggungjawab untuk perlupusan dilantik oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan menutup bahagian penutup terbabit tong berkenaan yang terletak 10 meter dari sungai terbabit," katanya.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, tiada tanda-tanda bahan (kimia) melekat pada rumput atau kesan tumpahan yang banyak pada tanah di lokasi.

"Pasukan bomba yang bertugas mengambil tindakan memastikan kawasan sekitar berkenaan selamat daripada bahaya bahan kimia sebelum tindakan lanjut diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MPKj bagi kerja pengambilan sampel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 12:28 AM