ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Kipas pengalir udara tidak dibuka semasa menggoreng ayam menjadi punca asap tidak dapat dialir keluar dari dapur yang mengakibatkan tiga individu pengsan di sebuah restoran makanan segera di Pandan Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebocoran gas di premis berkenaan jam 9.56 pagi tadi.

"Selepas menerima maklumat itu, pihak polis bersama Pasukan Hazmat Selangor, Pasukan Hazmat Kuala Lumpur, Pasukan Bomba Pandan Indah Dan Pasukan Perubatan dari Hospital Ampang bergegas ke lokasi kejadian.

"Kejadian dipercayai berpunca dari kipas pengalir udara tidak dibuka semasa pekerja restoran menggoreng ayam menyebabkan asap tidak dapat dialir keluar dari dapur premis terbabit.

"Kandungan gas karbon oksida dan karbon monoksida yang melebihi kandungan gas oksigen berlaku dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, dua pekerja restoran didapati pengsan, manakala seorang lagi pekerja dalam keadaan lemah.

"Semasa pihak ambulans dari Hospital Ampang memberi bantuan kepada ketiga-tiga mangsa, seorang pembantu perubatan turut pengsan, manakala seorang lagi pembantu perubatan serta pemandu ambulans dalam keadaan lemah.

"Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) kepada HAZMAT dan pihak bomba," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai terutamanya pengusaha-pengusaha restoran makanan segera supaya mematuhi serta melaksanakan prosedur operasi standard dan peraturan keselamatan yang ditetapkan pihak pengurusan.

Berita berkaitan:

  • 3 pengsan akibat terhidu gas bocor
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 5:15 PM