Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu hanya sekadar halwa telinga untuk menyedapkan hati sekiranya Parlimen dibubarkan dalam waktu terdekat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu bagaimanapun berjanji sekiranya PN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pakatan itu akan membentangkan bajet yang lebih baik.

"Bajet sudah bentang, kalaulah jadi esok (hari ini) Parlimen dibubarkan, apa jadi dengan bajet itu? Adakah sekadar halwa untuk sedapkan telinga jika berhenti di situ (Parlimen dibubarkan)?

"Bila PN menang nanti, kita bentang (bajet yang) InsyaAllah lebih baik," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran PN Negeri Perak di Dewan Jubli Perak di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Presiden parti GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata lagi, beliau yakin dan optimis PN Perak berupaya memenangi PRU15 kali ini dengan berpandangan bahawa kemenangan di Perak menjadi indikator kemenangan bagi PN di Malaysia secara amnya termasuk merampas Johor.

"Kalau esok (hari ini) terbubar Parlimen... Saya berasa Perak boleh menang... Nampak ada harapan baik... Menang peringkat Perak, menang seluruh negara, (dan) harap Johor pun menang," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu berkata RM372.3 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2023 berbanding RM332.1 bilion pada 2022.

Terdahulu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof dilapor berkata, kerajaan wajar membubarkan Parlimen dalam masa terdekat sekiranya benar mahu berbuat demikian bagi mengelakkan sesi pembentangan bajet dilihat sebagai proses sia-sia kerana perbelanjaan itu memerlukan kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum digazetkan.

Nada serupa turut disuarakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang berpandangan kerajaan prihatin tidak seharusnya membentangkan Bajet 2023 dan kemudian membubarkan Parlimen tanpa sempat ia dibahaskan di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul dalam sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 Jumaat lalu, dilapor berkata pembentangan semula Bajet 2023, jika berlaku pembubaran Dewan Rakyat akan dibuat mengikut kerangka berdasarkan keadaan ekonomi ketika ini justeru menurutnya tidak timbul isu pembentangan semula belanjawan berkenaan akan menyebabkan proses penyediaan bajet yang dibentangkan kini sia-sia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 11:25 AM