BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

Bajet 2023 adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lalu.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, kerajaan akan memastikan Bajet 2023 berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi tahun depan.

Menurutnya antara tumpuan utama dalam Bajet 2023 adalah untuk memastikan pemulihan pasca Covid-19 yang turut mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Ini merupakan kali ketiga Tengku Zafrul sebagai menteri kewangan membentangkan bajet selepas beliau membentangkannya di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2020, manakala tahun lepas untuk kerajaan pentadbiran Ismail Sabri.

Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2022 pada 29 Okt 2021 dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM332.1 bilion untuk menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.

ISMAIL Sabri (dua, kanan) menerima buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023 daripada Tengku Zafrul sebelum pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen. Turut sama, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah (kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa (kiri). FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 4:26 PM