HARUS ditekankan pengurusan PBS perlu selari dengan pemilihan pedagogi sesuatu subjek. - Gambar hiasan
HARUS ditekankan pengurusan PBS perlu selari dengan pemilihan pedagogi sesuatu subjek. - Gambar hiasan
TERDAPAT pelbagai kaedah penilaian boleh digunakan guru untuk menilai proses P&P dan tidak tertaluk kepada penilaian berbentuk formal. - Gambar hiasan
TERDAPAT pelbagai kaedah penilaian boleh digunakan guru untuk menilai proses P&P dan tidak tertaluk kepada penilaian berbentuk formal. - Gambar hiasan
DALAM PBS, apa yang mesti ditekankan ialah proses P&P kerana ia akan dijadikan penanda ukur terhadap pemberian penilaian pelajar. - Gambar hiasan
DALAM PBS, apa yang mesti ditekankan ialah proses P&P kerana ia akan dijadikan penanda ukur terhadap pemberian penilaian pelajar. - Gambar hiasan
RUMUSAN atau keputusan PBS menjadi penyalur maklumat sejauh mana pengajaran secara efektif dilaksanakan selain maklumat sejauh mana pelajar mendalami sesuatu objektif pembelajaran. - Gambar hiasan
RUMUSAN atau keputusan PBS menjadi penyalur maklumat sejauh mana pengajaran secara efektif dilaksanakan selain maklumat sejauh mana pelajar mendalami sesuatu objektif pembelajaran. - Gambar hiasan
PELAKSANAAN PBS diharap mampu mengubah paradigma dan sentimen masyarakat untuk tidak meletakkan pencapaian akademik sebagai ukuran utama pelajar. - Gambar hiasan
PELAKSANAAN PBS diharap mampu mengubah paradigma dan sentimen masyarakat untuk tidak meletakkan pencapaian akademik sebagai ukuran utama pelajar. - Gambar hiasan
PBS juga menjadi salah satu sandaran pelbagai pihak untuk membantu pelajar memperkukuhkan KBAT. - Gambar hiasan
PBS juga menjadi salah satu sandaran pelbagai pihak untuk membantu pelajar memperkukuhkan KBAT. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin


Apabila Pentaksiran Berdasarkan Sekolah (PBS) dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah mulai tahun 2011, ramai pihak mengharapkan perubahan itu mampu mengubah paradigma dan sentimen masyarakat untuk tidak meletakkan pencapaian akademik sebagai ukuran utama.

PBS juga dianggap platform terbaik membantu pelajar memperkukuhkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dilihat mampu membantu golongan terbabit mempelbagaikan keupayaan dalam kemahiran berkeperluan tinggi.

Peralihan daripada sistem pentaksiran pendidikan yang bersandarkan peperiksaan kepada kombinasi sistem peperiksaan dan sistem pentaksiran berasaskan sekolah adalah transformasi positif dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagaimanapun, konsep murni di bawah inisiatif ini masih dipertikaikan padahal hakikatnya ia perlu diberi sokongan pelbagai pihak untuk melihat kejayaannya.

Pensyarah kanan Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi Universiti Malaya Dr Zuwati Hasim, berkata bagi membolehkan objektif penilaian dan pentaksiran tercapai, pelaksanaan bersesuaian mengikut objektif sesuatu penilaian perlu dilakukan secara berterusan.

Menurutnya, perlu difahami konstruk PBS membabitkan pentaksiran secara menyeluruh yang membolehkan setiap pelajar diajar mengikut kemampuan dan dinilai secara adil dari segala aspek.

“Pembabitan itu membabitkan kognitif (kemampuan intelek dan pembelajaran, afektif (sikap dan nilai) serta psikomotor (keterampilan dan kemahiran).

“Keperluan, kemahiran dan kemampuan pelajar dinilai mengikut standard yang sudah ditetap dan disasarkan.

“Ini perancangan dan transformasi untuk jangka panjang, justeru pelbagai pihak perlu diberi pendedahan berkenaan konsep dan tujuan pelaksanaan PBS supaya tidak lagi timbul pelbagai isu mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PBS ketika ini sudah berada di landasan tepat namun masih memerlukan penambahbaikan serta pemurnian merangkumi pelbagai aspek seperti pengetahuan, pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan.

“Usaha dilakukan ini bertepatan untuk menjadikan sektor pendidikan negara lebih menyeluruh menerusi pelaksanaan PBS secara holistik berdasarkan kombinasi penilaian formatif dan penilaian sumatif.

“Bagaimanapun, pendedahan dan pengetahuan konsep sebenar terhadap penilaian formatif berbanding penilaian sumatif masih kurang dalam kalangan golongan pelaksanaan dan ini perlu diperbaiki.

“Ini kerana dalam PBS, maklum balas diperoleh daripada proses penilaian sangat penting untuk digunakan sebagai panduan penambahbaikan,” katanya.

Menurutnya, dalam menjaya dan melaksanakan PBS, semua pihak perlu jelas berkenaan prosedur pelaksanaan penilaian formatif sebagai medium penambahbaikan kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

“Kebanyakan pelaksanaan PBS masih menjurus kepada sistem pentaksiran lama yang lebih menjurus kepada kuantiti kecemerlangan berbanding kualiti pembelajaran.

“Perbezaan hanya didapati dari segi pemberian penilaian perkembangan pelajaran setiap pelajar melalui sistem berkala atau sistem Band yang diguna pakai mengikut Dokumen Standard Prestasi berbanding sistem pemarkahan bernombor sebelum ini.

“Jika dilihat pelaksanaan PBS di negara maju penekanan lebih diberikan bagi proses P&P. Rumusan atau keputusan yang diperoleh sewajarnya memberi maklumat sejauh mana pengajaran secara efektif dilaksanakan selain maklumat sejauh mana pelajar mendalami sesuatu objektif pembelajaran,” katanya.

Maklumat ini, katanya kemudian diguna pakai guru untuk memperbaiki kelemahan P&P.

“Dalam penilaian formatif, pengajaran, pembelajaran dan penilaian berkait rapat antara satu sama lain.

“Sekiranya penilaian formatif ini dipraktikkan dengan jelas dan kaedah yang digunakan bertepatan dengan objektif pentaksiran, tidak timbul lagi keperluan untuk pelajar menghadiri kelas tambahan berbayar di luar sekolah,” katanya.

Pada masa sama, pendekatan kepada pelaksanaan dan pengurusan PBS perlu selari dengan pemilihan pedagogi sesuatu subjek.

Sekiranya perubahan kepada sistem pentaksiran tidak selari dengan pendekatan P&P, pentaksiran ini dianggap tidak bermakna kerana PBS perlu menekankan konsep penilaian formatif seiring penilaian berterusan dan penilaian sumatif.

“Dari segi penilaian formatif, seharusnya guru diberi autonomi dalam pemilihan kaedah penilaian mengikut keperluan pembelajaran termasuk kaedah penilaian berbentuk kuiz, drama, pertandingan menulis, forum dan ujian.

“Penilaian ini dilakukan tidak berteraskan ujian penentuan gred secara formal tapi merangkumi ujian tidak formal bertujuan membantu guru membuat pengukuran terhadap penguasaan sesuatu objektif pembelajaran oleh pelajar dan pengajaran oleh guru sendiri.

“Setiap ujian dilakukan perlu ada maklum balas dan pengisian bagi penambahbaikan sementara maklum balas pula boleh dilakukan dengan beberapa cara termasuk secara lisan, bertulis dan melalui model khas,” katanya.

Sementara dari segi pemantauan, penggunaan portfolio dilihat sebagai salah satu cara berkesan bagi menyimpan maklumat pencapaian pelajar mengikut objektif pembelajaran.

“Sistem ini sudah lama diguna pakai di New Zealand dan PBS seharusnya tidak memuktamadkan guru untuk menyimpan segala data dalam sistem pentaksiran yang dibina khas.

“Keperluan untuk memasukkan setiap data pencapaian pelajar seperti yang dilakukan sekarang ini agak membebankan guru.

“Sekiranya corak pemantauan memerlukan guru memasukkan setiap markah pencapaian dalam pengkalan data, ia tidak membezakan sistem pentaksiran berasaskan peperiksaan dan pentaksiran berasaskan sekolah,” katanya.

Secara keseluruhan, perubahan kepada sistem pentaksiran PBS memerlukan perubahan bukan saja dari segi prosedur pentaksiran tapi juga perubahan sikap dan minda pelbagai pihak daripada segi penerimaan, pembangunan kreativiti dalam P&P serta kepelbagaian teknik penilaian di sekolah.

“Penggerak utama dalam sistem PBS adalah guru, pelajar, dan ibu bapa.

“”Sebab itu penting ada sikap keterbukaan dan mesra pihak sekolah dalam membincangkan hal-hal berkaitan P&P bersama ibu bapa supaya dapat menyumbang kepada perkembangan pembelajaran pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 12:03 PM