Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norsyazwani Nasri


Sibu: Seorang suri rumah mengalami kerugian RM 10,653 diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai ejen pinjaman wang di media sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa membuat lapan transaksi melalui perbankan dalam talian menggunakan dua akaun bank miliknya.

"Bayaran itu dibuat bagi urusan proses pinjaman seperti dokumen perbankan, pendaftaran, caj pengurusan dan pembayaran cukai bagi kelulusan segera.

"Mangsa juga dijanjikan pulangan semula wang selepas mendapat kelulusan pinjaman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selepas membuat pembayaran, mangsa masih ditagih untuk membuat pembayaran lagi dengan pelbagai alasan caj yang perlu dibayar.

"Mangsa yang mula berasa curiga membuat laporan polis yang diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, semalam.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan dengan mana-mana bank atau agensi kewangan berdaftar yang berdekatan untuk kepastian dan hendaklah membuat pertanyaan atau semakan terlebih dahulu untuk mengelak dari menjadi mangsa penipuan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga hendaklah lebih peka dengan modus operandi scammer dalam memperdaya orang awam serta membuat keputusan rasional sebelum tindakan dibuat.

"Selain itu, orang ramai diminta membuat semakan menerusi laman web https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 5:00 PM