GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Cubaan dua penuntut sebuah kolej mencuri pakaian berjenama di sebuah pusat beli belah di Taman Melawati, dekat sini, gagal selepas disedari pekerjanya sebelum menahan kedua-dua suspek, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, kedua-dua wanita berusia 21 tahun itu masuk ke premis menjual pakaian sebelum berpura-pura ingin mencuba tiga pakaian bernilai RM429 di bilik persalinan.

Selepas mencuba pakaian itu, suspek terus beredar namun disedari pekerja premis terbabit yang kemudian menahan mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek.

"Polis merampas barang kes dan menahan suspek kerana disyaki melakukan jenayah curi dalam bangunan.

"Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang jaya untuk tindakan selanjutnya," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 12:26 PM