NORYATI menyelimuti cucunya, Dhia Farisha Rosli, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). FOTOT Bernama
NORYATI menyelimuti cucunya, Dhia Farisha Rosli, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). FOTOT Bernama
BERNAMA

Ipoh: Mangsa banjir kilat di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di sini, menyifatkan kejadian semalam adalah yang terburuk sejak 30 tahun tinggal di kawasan berkenaan.

Seorang suri rumah, Cik Som Idris, 64, berkata, dia menyedari kejadian terbabit selepas selesai menunaikan solat Maghrib apabila air sudah mula masuk ke dalam kawasan rumahnya dengan begitu pantas sekali.

"Panik jugak kerana sepanjang lebih 30 tahun tinggal di sini, tidak pernah sekali pun berlaku banjir kilat, ditambah pula tak ada ilmu berdepan banjir. Saya hanya mengharapkan bantuan daripada agensi keselamatan yang terlibat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Klebang di sini, hari ini.

Sementara itu, pesara swasta, Ismail Husin, 72, berkata, hujan lebat dan tidak berhenti sejak lewat petang semalam menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menyimpan barang-barang berharga di tempat tinggi kerana khuatir berlakunya banjir.

"Sangkaan saya tepat, ketika saya mengemas kawasan rumah pada 8 malam, orang kampung sudah mula kecoh kerana air naik.

"Pada 10 malam, kami diarahkan untuk ke PPS kerana risau paras air akan makin tinggi dan kebanyakan rumah sudah dimasuki air," katanya.

Pegawai bank, Mohamad Redwan, 35, berkata, dia dihubungi ibunya pada 7 malam dengan memaklumkan tentang keadaan rumah yang dinaiki air dan memintanya menyimpan dokumen serta barangan penting di tempat yang tinggi serta selamat.

"Saya terus ke rumah emak dengan menaiki motor dan air sudah mula naik, masuk ke dalam kawasan rumah. Saya terus bawa emak ke sini (PPS) supaya dia boleh berehat," katanya.

Dilapor, mangsa banjir kilat di RPT di sini, turun kepada 87 orang setakat tengah hari ini berbanding 93 orang pada 8 pagi hari ini.

Semalam, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir akibat hujan lebat itu pada 10.05 malam selepas paras air ketika itu adalah kira-kira setengah meter," katanya dalam kenyataan.

Hujan lebat yang berterusan sejak petang hingga tengah malam tadi menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 2:05 PM