Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Banjir kilat yang berlaku di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di sini, semalam, berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan air Sungai Chepor melimpah.

Pejabat Penerangan Daerah Kinta melalui kenyataannya berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kinta yang dipengerusikan Pegawai Daerah Kinta Meor Hezbullah Meor Abd Malik bagi menangani isu ini.

"Pengerusi JPBD Kinta turun ke lokasi sejurus sahaja mendapat maklumat paras air mula naik.

"Hujan lebat yang berterusan sepanjang malam mengakibatkan PPS dibuka bagi memindahkan penduduk yang berisiko dan rumah mereka dinaiki air," katanya.

Katanya, tindakan awal pelbagai agensi di bawah JPBD dapat mengurangkan risiko bencana yang lebih buruk.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Perak menyalurkan bantuan khas sebanyak RM300 kepada setiap 33 keluarga mangsa yang terkesan dalam kejadian banjir kilat di RPT Chepor.

Menurutnya, bantuan berkenaan disampaikan oleh wakil dari Pejabat Daerah dan Tanah Kinta kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Sri Klebang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 9:51 PM