MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri mengarahkan sebarang aktiviti konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila dalam kalangan pengunjung tidak dibenarkan diadakan di seluruh Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganjuran Muda Mudi Weekend Festival kelmarin, menjadi penanda aras dalam penganjuran program hiburan di negeri ini.

Beliau berkata, program yang diadakan di Balai Seni Alor Setar itu menunjukkan bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberi ruang untuk membiak.

"Penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti larian, kayuhan basikal, pencarian harta (treasure hunt) dan lain-lain adalah digalakkan.

"Bagaimanapun, acara terbabit perlu selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penganjuran Muda Mudi Weekend Festival kelmarin, mencetuskan kontroversi apabila penganjur dikatakan melanggar tatasusila dan adab termasuk pergaulan antara pengunjung.

Program yang mendapat kebenaran berkenaan dikatakan bermula dengan baik pada sebelah pagi, namun berlaku penganjuran konsert pada sebelah malam di kawasan terletak berdekatan Masjid Zahir.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, arahan berkaitan larangan penganjuran program hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila adalah berkuat kuasa serta-merta.

"Semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan pelesenan hiburan telah dimaklumkan mengenai hal ini.

"Arahan berkaitan larangan ini adalah berkuat kuasa serta-merta di seluruh Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 1:21 PM