Pulau Perhentian. FOTO Bernama.
Pulau Perhentian. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Agensi bertanggungjawab telah dan sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca berlakunya kejadian sekumpulan pelancong mengalami gejala pening, muntah serta demam, selepas pulang dari bercuti di Pulau Perhentian Kecil, Besut.

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) hari ini, perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang dihubungi kementerian bagi mendapatkan gambaran jelas isu yang berlaku.

"Pihak Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu memaklumkan bahawa pihaknya telah berkomunikasi dengan beberapa agensi di peringkat negeri seperti Pejabat Daerah Besut dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut dan dimaklumkan bahawa agensi-agensi yang bertanggungjawab telah dan sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca utama berlakunya kejadian tersebut," menurut Motac.

Menurut kenyataan itu, Motac memandang serius perkara yang membabitkan tahap keselamatan dan kesihatan pelancong, sama ada domestik atau dari luar negara, dan kejadian seperti itu perlu ditangani secara tuntas bagi memastikan hasrat kerajaan untuk memulihkan industri pelancongan negara dalam masa terdekat dapat dicapai.

Semalam, portal berita dalam talian melaporkan sekumpulan 40 pelancong terdiri daripada 27 dewasa dan 13 kanak-kanak yang bercuti tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau itu.

Menurut laporan tersebut, sebahagian mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus pulang dan beberapa orang dimasukkan ke hospital, manakala seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 6:05 PM