PULAU Perhentian Kecil. FOTO Arkib NSTP
PULAU Perhentian Kecil. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri memandang serius kejadian sekumpulan pelancong mengalami gejala pening, muntah dan demam selepas pulang bercuti di Pulau Perhentian Kecil, Besut, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata, semua agensi yang terbabit diarah menjalankan siasatan di lapangan dengan segera untuk mengenal pasti punca kejadian.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menjelaskan isu sebenar yang berlaku dan laporan penuh akan menyusul sebaik siasatan lengkap.

"Pihak kerajaan tidak teragak-agak menggunakan segala tindakan perundangan sedia ada dengan tegas jika ada premis tidak mematuhi peraturan ditetapkan memandangkan isu-isu sebegini boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ariffin, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) dalam usaha untuk membina loji kumbahan bersepadu bagi menangani isu-isu berkaitan pencemaran kumbahan di Pulau Perhentian.

Katanya, Kasa dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) juga sedang dalam tindakan menjalankan pelupusan enap cemar secara keseluruhan di Pulau Perhentian susulan aduan yang diterima sebelum ini.

"Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (Jas) Terengganu juga sentiasa menjalankan program pengawasan kualiti air marin secara berkala di Pulau Perhentian.

"Bagi keputusan pengawasan kualiti air marin dalam tempoh antara Jun sehingga September lalu, ia menunjukkan kualiti air berada pada tahap yang terbaik," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri komited dalam menjaga keselesaan dan keselamatan pelancong yang datang bercuti di pulau-pulau peranginan di Terengganu.

Katanya, sebarang isu yang mendatangkan kesan tidak baik kepada pelancong dan pengunjung akan diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya demi memastikan kelangsungan sektor pelancongan negeri.

Sebelum ini, portal berita dalam talian melaporkan sekumpulan 40 pelancong terdiri daripada 27 dewasa dan 13 kanak-kanak yang bercuti tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau itu.

Menurut laporan berkenaan, sebahagian mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus pulang dan beberapa orang dimasukkan ke hospital.

Manakala seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 12:33 PM