KEADAAN cuaca di Pulau Perhentian. FOTO ihsan penduduk Pulau Perhentian
KEADAAN cuaca di Pulau Perhentian. FOTO ihsan penduduk Pulau Perhentian
Zatul Iffah Zolkiply


Jerteh: Cuaca buruk yang melanda Terengganu menyebabkan hampir 400 pelancong termasuk 22 kanak-kanak dan dua bayi terkandas di Pulau Perhentian di sini sejak Jumaat.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian Abdul Aziz Che Abdullah berkata, mangsa terdiri daripada pelancong tempatan sebelum ini menginap di 19 resort, hotel dan inap desa di pulau berkenaan.

Beliau berkata, keadaan laut yang bergelora dan angin kencang menyebabkan bot yang membawa pelancong ke Jeti Kuala Besut tidak dapat keluar.

"Mereka terkandas sejak Jumaat apabila operasi bot dihentikan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Jika diikutkan, keadaan cuaca hari ini semakin baik dan ombak juga sudah berkurangan tetapi kita masih menunggu kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia sama ada mereka boleh dibawa keluar atau tidak.

"Sekarang ini, kita masih tunggu kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan berharap keadaan cuaca akan semakin baik esok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 4:59 PM