Gambar hiasan
Gambar hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 224 aduan berkaitan sindiket penipuan pekerjaan membabitkan warga Malaysia di luar negara, sepanjang tahun lalu hingga hari ini.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, semua laporan diterima daripada ahli keluarga, rakan dan kenalan mangsa yang terpedaya dengan sindiket berkenaan.

Menurutnya, ia membabitkan 284 mangsa yang mana 110 daripadanya sudah berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia, manakala 174 lagi masih terkandas.

"PDRM akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Polis Asean (Aseanapol) dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menangani penipuan tawaran kerja kepada warga Malaysia di luar negara.

"PDRM juga turut terbabit dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Luar (KLN) dalam menangani isu itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati terutama ketika menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara yang ditawar menerusi media sosial.

"Pastikan semak mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dengan KLN sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara.

"PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 2:59 PM