Omar Ahmad

Johor Bahru: Polis Johor menganggarkan sebanyak RM3.021 bilion saman tertunggak yang belum dijelaskan di negeri ini dalam tempoh 20 tahun sejak tahun 2000 hingga November 2021.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail berkata, ia membabitkan sebanyak 10.073 juta saman di bawah kesalahan Pol 170A dan Pol 257.

Manakala katanya, bagi tempoh sama, sebanyak RM58.074 juta nilai saman tertunggak membabitkan warga Singapura di Johor belum dijelaskan, yang membabitkan 193,583 helaian saman.

"Berdasarkan statistik saman tertunggak bagi Kontinjen Johor adalah sebanyak 10,063,023 helaian saman membabitkan saman Pol 170A dan Pol 257 bagi tahun 2000 hingga 30 November tahun ini.

"Bagi saman di bawah Pol 170A ialah pandu laju, halangan lalu lintas dan mengabaikan isyarat lalu lintas. Manakala bagi kesalahan di bawah Pol 257 membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, ubah suai kenderaan dan guna telefon semasa memandu.

"Sejak diskaun 80 peratus bermula semalam hingga hari ini, sebanyak RM1.6 juta kutipan diperolehi membabitkan 35,026 saman yang dijelaskan seluruh negeri," katanya ketika ditemui di cawangan trafik Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

ORANG ramai mengambil peluang menjelaskan saman trafik dengan diskaun 80 peratus bermula semalam hingga 12 Disember ini di cawangan trafik IPK Johor. FOTO Omar Ahmad
ORANG ramai mengambil peluang menjelaskan saman trafik dengan diskaun 80 peratus bermula semalam hingga 12 Disember ini di cawangan trafik IPK Johor. FOTO Omar Ahmad

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan masa 20 minit melihat proses pembayaran saman sempena diskaun 80 peratus di Ibu Pejabat Polis Trafik Johor.

Menurut Khairul Azhar, sejak diskaun potongan saman trafik PDRM dibuka pada 1 Disember lalu hingga semalam sejak, pihaknya sudah membuat kutipan sebanyak RM4.883 juta termasuk RM1.6 kutipan bagi diskaun 80 peratus.

Katanya, ia membabitkan kesalahan pandu laju, halangan lalu lintas dan mengabaikan isyarat lalu lintas.

"Setakat ini daerah Johor Bahru Selatan mencatat kutipan paling tinggi iaitu RM730,960. Diikuti daerah Batu Pahat (RM539,380) dan daerah Muar (RM469,500).

"Saya berharap masyarakat akan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi ini untuk menjelaskan saman mereka sempena pada harga diskaun 80 peratus iaitu sehingga 12 Disember ini.

"Saman boleh dibayar di 14 cawangan trafik di setiap ibu pejabat polis daerah di negeri ini. Kaunter mula dibuka jam 8.30 pagi hingga 5 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 4:47 PM