Audrey Dermawan

Georgetown: Seorang lelaki dan teman wanitanya yang berasal dari Myanmar, maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai di sini hari ini.

Wanita yang bekerja di sebuah kilang emas itu dikenali sebagai Khin Nyein, 30.

Difahamkan, dalam kejadian jam 8 malam itu, lelaki berusia 30-an terbabit menikam wanita terbabit sebelum dia melompat dari tingkat lapan pangsapuri berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, menurut saksi, mereka baru pulang dari kerja.

"Setibanya di tingkat lapan pangsapuri itu, suspek lelaki tiba-tiba memeluk si mati dari arah belakang dan menutup mulutnya.

"Dia kemudian menikam perutnya beberapa kali menggunakan pisau," katanya ketika dihubungi New Straits Times di sini malam ini.

Saravanan berkata, saksi cuba menyelamatkan rakannya namun ditolak suspek.

"Suspek kemudian terjun dari pangsapuri itu dan meninggal dunia.

"Mayatnya ditemui di tempat letak kereta di tingkat bawah," katanya sambil menambah mangsa dan suspek tidak tinggal bersama.

Saravanan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

POLIS memeriksa lokasi kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai. FOTO Mikail Ong
POLIS memeriksa lokasi kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 9:32 PM