GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis akan merakam keterangan ahli keluarga serta kekasih kepada doktor pelatih yang ditemukan maut selepas terjatuh di kediamannya di Datuk Keramat di sini, 17 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, keterangan bapa dan abang mangsa akan dirakam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut petang ini, manakala keterangan kekasih mangsa dirakam di Nilai, Negeri Sembilan.

"Keterangan kekasihnya akan dirakam di Nilai memandangkan dia berada di sana.

"Keputusan hasil bedah siasat masih belum diperoleh setakat ini, " katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Saravanan berkata, polis kini dalam usaha melengkapkan siasatan kes berkenaan bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai doktor pelatih berusia 25 tahun berkenaan didakwa terjatuh dari tingkat 23 apartmen yang disewanya di Jalan Datuk Keramat.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 1:59 PM