AHMAD Hamzah (kiri) menyerahkan bantuan banjir kepada mangsa, sambil diperhatikan Siti Faizah. FOTO AMIR MAMAT
AHMAD Hamzah (kiri) menyerahkan bantuan banjir kepada mangsa, sambil diperhatikan Siti Faizah. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Empat pasar raya besar di negara ini sudah diberi kebenaran oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengimport ayam bulat sejuk beku dari beberapa negara serta menjual terus kepada pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata pasar raya terbabit iaitu Mydin, NSK, Lulu dan Lotus sudah diberi Lesen Import (AP) untuk mengimport ayam bulat sejuk beku itu bagi menampung permintaan pengguna di negara ini, sekali gus dapat menstabilkan harga bahan mentah itu ketika ini.

Beliau berkata, langkah pemberian AP khas bermula 8 Februari lalu, adalah untuk membolehkan bekalan ayam diperolehi terus daripada pemborong tanpa memerlukan orang tengah, termasuk ejen bekalan.

"Kerajaan mengambil tindakan tepat dengan memberikan kelulusan kepada empat pasar raya untuk mengimport ayam bulat. Maknanya, pasar raya berkenaan boleh dapatkan membeli (mengimport) dan menjualnya secara terus.

"Bagi saya, menerusi kaedah itu dapat menurunkan harga kerana mereka tidak perlu (caj) melalui orang tengah atau ejen sebaliknya jual dengan harga rendah terus kepada pengguna," katanya selepas menyampaikan bantuan tunai kepada 98 mangsa banjir dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Bantuan RM200 setiap seorang itu adalah sumbangan kerajaan negeri yang diagihkan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Jasin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan Penghulu Sungai Rambai, Zakaria Abu Bakar.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin, berkata MAFI kini di peringkat akhir mengumpul maklumat mengenai kerosakan yang dialami golongan petani, penternak dan nelayan akibat bencana banjir sejak Disember lalu.

Katanya, langkah terbabit sebagai usaha pihak kementerian untuk menyalurkan bantuan kepada golongan itu menerusi Dana Bangkit Semula Keluarga Agro.

"Menerusi peruntukan RM100 juta itu, MAFI akan mula mengagihkan bantuan terbabit dalam masa terdekat, selepas semua maklumat kerosakan itu sudah lengkap kelak.

"Bantuan itu akan diagihkan menerusi jabatan berkaitan seperti Jabatan Perikanan, JPV serta Jabatan Pertanian, sekali gus diharap dapat meringankan beban golongan `wira agro' itu selain membolehkan mereka membangunkan kembali sektor pertanian yang terjejas akibat banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 11:08 AM