ANTARA individu diziarahi Yayasan Bank Rakyat. FOTO Bernama
ANTARA individu diziarahi Yayasan Bank Rakyat. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Kinabalu: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyantuni masyarakat sekitar daerah Putatan melalui program ziarah bagi membantu meringankan beban dihadapi dan membantu serta mengambil tahu permasalahan dihadapi masyarakat setempat.

YBR menerusi kenyataan hari ini memberitahu program ziarah yang dilaksanakan pada Rabu lalu tertumpu kepada golongan asnaf, B40 dan mereka yang dilanda musibah seperti sakit.

"Melalui program ziarah YBR ini, bantuan dan sumbangan segera akan dapat diberikan kepada individu yang memerlukan alatan atau apa jua bentuk keperluan lain.

"Sebelum ini, YBR pernah memberikan alat bantuan pernafasan, mesin braille dan pelbagai alatan lain yang boleh membantu memudahkan pesakit daripada golongan kurang berkemampuan," katanya.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Jefferey Nor Mohamed berkata, menerusi program itu YBR menziarahi beberapa individu antaranya Zaitun Ishak, 34, yang hanya berbaring di rumah selepas menjalani pembedahan tiroid dan pihaknya akan cuba memberikan bantuan katil hospital.

"Kerja kebajikan adalah sebahagian daripada program YBR dan saya akan cuba sebaik mungkin, termasuk memberi bantuan yang diperlukan, misalnya kerusi roda, bekalan makanan dan sebagainya, bergantung pada keperluan tertentu mereka yang memerlukan," katanya.

Zaitun yang juga menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi selama lebih 10 tahun ini mengalami kesukaran untuk berjalan dan amat memerlukan sumbangan kerusi roda selain katil hospital.

Turut hadir dalam program itu, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Selain Program Ziarah, YBR juga melaksanakan program bantuan persekolahan seperti meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan pakaian dan peralatan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 2:01 PM