Adnan Ibrahim


“Alhamdulilah sudah ada perkembangan sedikit berbanding sebelum ini hanya linangan air mata.

“Sudah ada suara rengekan walaupun masih perlahan,” kata Zaitun Othman, 50, mengenai cucunya, Nur Ghaziyah Athirah Mohd Abu Dujanah, 4, yang kini hanya mampu terlantar selepas terbabit kemalangan yang mengorbankan lima keluarganya pada 12 Disember lalu.

Nur Ghaziyah Athirah adalah satu-satunya mangsa terselamat dalam kejadian yang mengorbankan ibu bapanya, Zinirah Abdul Hamid, 28, dan

Mohd Abu Dujanah Dzulkarnain, 30, serta tiga adik beradiknya.

Penderitaan adik Athirah sebelum ini pernah disiarkan akhbar ini dan mendapat perhatian masyarakat serta agensi kerajaan dengan menyalurkan bantuan bagi membantunya meneruskan kehidupan harian.

Zaitun berkata, berkat doa dan sumbangan orang ramai, cucunya kini mula menunjukkan perkembangan positif walaupun kecederaan yang dialami memerlukan masa panjang untuk pulih.

“Saya berserah kepada Allah SWT yang menentukan kehidupannya, apa yang pasti kita hanya perlu berusaha dan berdoa agar Athirah mampu bertahan dengan dugaan dan cabaran ini.

“Bagaimanapun perkembangan terbaru ini pasti memberikan semangat yang kuat kepada kami untuk melihat dia berjalan dan hidup seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan lampin pakai buang, susu khas, tisu serta barangan keperluan dapur daripada Pasaraya Econsave Kluang yang disampaikan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam di Kluang, hari ini.

Zaitun berkata, tiada kata yang boleh diungkapkan oleh mereka sekeluarga terhadap perkembangan ditunjukkan oleh cucunya itu dan semua ini datangnya daripada keprihatinan serta doa orang ramai selepas disiarkan akhbar ini 14 Februari lalu.

KLUANG  06 MAC 2018.  Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam (tiga dari kiri) dan Ketua Kampung Baru, Azman Miskam menyerahkan bantuan kepada Zaitun Othman serta suaminya Dzulkarnain Yusoh yang menjaga Nurghaziyah Athirah Mohd Abu Dujanah dikediaman mereka di Taman Makmur, Kluang, semalam. STR/ADNAN IBRAHIMADNAN IBRAHIM
KLUANG 06 MAC 2018. Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam (tiga dari kiri) dan Ketua Kampung Baru, Azman Miskam menyerahkan bantuan kepada Zaitun Othman serta suaminya Dzulkarnain Yusoh yang menjaga Nurghaziyah Athirah Mohd Abu Dujanah dikediaman mereka di Taman Makmur, Kluang, semalam. STR/ADNAN IBRAHIMADNAN IBRAHIM

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Kluang, Azman Miskam berkata, pihaknya akan memantau untuk mengetahui perkembangan Athirah.

“Kami juga akan terus melaksanakan pelbagai program bagi mengumpul dana untuk membantu adik ini dengan harapan semua usaha ini dapat melihat dia boleh berdikari menjalani kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Berita berkaitan:

Nur Ghaziyah hilang ingatan

Doakan adik Nur Ghaziyah Athirah

Doakan Nur Ghaziyah Athirah cepat sembuh

Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 12:12 AM