AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada ahli jawatankuasa PSMNS sambil disaksikan Hassan Malek (dua dari kiri) di Seremban, semalam. Foto Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada ahli jawatankuasa PSMNS sambil disaksikan Hassan Malek (dua dari kiri) di Seremban, semalam. Foto Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri menafikan pandangan segelintir pihak yang beranggapan bahawa tiada usaha dilakukan bagi memperkasakan adat Perpatih di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebaliknya banyak usaha dilaksanakan bagi menyuburkan lagi adat berkenaan dalam segenap lapisan masyarakat terutamanya kalangan generasi muda.

Beliau berkata, untuk itu pelbagai inisiatif diwujudkan kerana adat Perpatih yang diwarisi sejak turun temurun itu menjadi identiti penting Negeri Sembilan.

"Pandangan segelintir pihak bahawa kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa dalam usaha memperkasa dan memartabatkan adat Perpatih di negeri ini adalah tidak benar.

"Banyak usaha yang dibuat antaranya memartabatkan sejarah di Negeri Sembilan melalui usaha pemulihan dan pemuliharaan bangunan serta rumah warisan negeri.

"Setakat ini antara bangunan yang sudah dipulihkan ialah Masjid Warisan Kampung Kuala Serdang; Masjid Warisan Kampung Terusan dan Rumah Warisan Puan Norlida Idris, di Kuala Pilah.

"Selain itu, rumah warisan Puan Jalilah Buang dan rumah warisan Puan Norami Jalil, masing-masing di Jelebu dan Rembau.

"Manakala pemulihan dan pemuliharaan bangunan meliputi rumah warisan Dato' Klana Petra Hashim di Pantai dan bangunan Moi Kong Ng Shook Fui Kon di Temiang, Seremban," katanya di sini, petang semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (PSMNS) di Dewan Thearette Wisma Negeri di sini.

Yang turut hadir, Mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Pengerusi PSMNS, Datuk Seri Hassan Malek dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md Fiah Mohd Jamin.

Aminuddin berkata, usaha pemulihan dan pemuliharaan bangunan serta rumah warisan dijadikan rujukan untuk pengkaji yang ingin mendalami senibina warisan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan inisiatif sebanyak RM1 juta bagi membina Dataran Adat Perpatih di perkarangan Muzium Negeri di sini.

"Dataran ini berfungsi sebagai tempat berkumpulnya ahli sejarah, masyarakat adat dan penggemar warisan adat melaksanakan program.

"Selain itu, dana khas memperkasakan adat Perpatih berjumlah RM500,000 setahun turut disediakan untuk keperluan semua Luak menjalankan aktiviti," katanya.

Menteri Besar berkata, usaha berkenaan untuk memastikan bukan saja kepimpinan adat itu, tetapi teras adat juga dapat dipelihara dan diperkasakan.

"Banyak tapak sejarah, tokoh adat, ulama, bangunan rumah tradisional, cerita rakyat luak, sejarah luak, laluan sejarah dan lain-lain perlu dikaji.

"Kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) boleh membantu membiayai kajian dengan kaedah yang digunakan sedia ada," katanya.

Beliau berharap PSMNS dapat memainkan peranan proaktif dalam membantu supaya sejarah ini dapat diketengahkan untuk generasi masa kini dan akan datang.

"Saya juga mahu Jabatan Pendidikan Negeri, PSMNS, LMNS dan Luak turut sama memastikan Kelab Adat Perpatih dapat diwujudkan di sekolah supaya warisan, sejarah dan adat ini dapat terus bergerak ke hadapan dalam membangunkan minda generasi muda yang seimbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 11:30 AM