PESERTA Bengkel Pemurnian Adat Ibu Soko Adat Lingkungan dari ahli Kelab Adat Perpatih, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin menerima tunjuk ajar dari ibu soko bagaimana menyediakan panta berkucung dengan betul. FOTO AMRAN YAHYA
PESERTA Bengkel Pemurnian Adat Ibu Soko Adat Lingkungan dari ahli Kelab Adat Perpatih, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin menerima tunjuk ajar dari ibu soko bagaimana menyediakan panta berkucung dengan betul. FOTO AMRAN YAHYA
Amran Yahya


SEJAK akhir-akhir ini, peranan ‘Ibu Soko’ dilihat kurang berfungsi ketika dalam mengendalikan majlis keramaian terutama perkahwinan.

Ibu Soko adalah istilah khusus kepada seseorang wanita di Negeri Sembilan yang mahir dan menjadi pakar rujuk dalam pelbagai perkara khususnya berhubung perjalanan adat.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) Drs Shamsuddin Ahmad berkata, sudah tiba masanya peranan ibu soko diangkat kembali demi mengembalikan martabat mereka yang begitu gemilang suatu ketika dahulu.

“Jika diterjemahkan, ibu soko adalah wanita berpengetahuan dan berpengalaman dalam perjalanan adat dan kelompok keluarganya sendiri di samping pakar rujuk dalam hal ehwal adat, sosial, ekonomi serta politik.

“Ibu soko turut bertanggungjawab dalam melaksanakan ketentuan agama dan adat, meneruskan jurai keturunan kelompok keluarganya, memastikan keturunannya menjadi ahli masyarakat berguna dan memiliki sikap madani.

“Justeru, sudah tiba masanya terutama generasi muda didedahkan mengenai tugas ibu soko supaya suatu hari nanti kita tidak ketandusan pengganti yang mempunyai kefahaman tentang peranan ibu soko dalam Adat Perpatih,” katanya ketika ditemui di Bengkel Pemurnian Adat Ibu Soko Adat Lingkungan di Galeri Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Nazaruddin Sabtu.

Bengkel Pemurnian Adat Ibu Soko Adat Lingkungan itu bertujuan memberi kefahaman dalam membuat persiapan adat bagi menjalankan sesuatu istiadat terutama generasi muda.

Bengkel disertai 70 orang terdiri daripada ibu soko Adat Lingkungan dan ahli Kelab Adat Perpatih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin, Seri Menanti.

Antara pengisian termasuk cara mengikat panta berkucung, membungkus tepak sirih, membuat kain sampaian atau lipat gunting, mengikat telepuk dan mengikat kain sampin, yang dibimbing fasilitator Alias Zakaria dan dibantu ibu soko.

AHLI Kelab Adat Perpatih, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin bergambar bersama ketika Bengkel Pemurnian Adat Ibu Soko Adat Lingkungan di Galeri Seri Menanti.  FOTO AMRAN YAHYA
AHLI Kelab Adat Perpatih, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin bergambar bersama ketika Bengkel Pemurnian Adat Ibu Soko Adat Lingkungan di Galeri Seri Menanti. FOTO AMRAN YAHYA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:40 PM