KONSERVATOR memainkan peranan penting dalam menyelamatkan bangunan warisan.
KONSERVATOR memainkan peranan penting dalam menyelamatkan bangunan warisan.
Muhamaad Razis Ismail


Bangunan warisan aset negara yang mempunyai nilai budaya masyarakat dan sejarah perkembangan negara yang perlu diwariskan kepada generasi kini dan masa hadapan.

Pemuliharaan bangunan warisan antara usaha memanjangkan hayat bangunan melalui beberapa pendekatan, kaedah dan proses dengan matlamat utamanya untuk mengekalkan sejarah bangunan.

Dalam melaksanakan usaha ini, konservator bangunan berdaftar antara individu memainkan peranan penting untuk memastikan kerja pemuliharaan dilaksana mengikut garis panduan ditetapkan Jabatan Warisan Negara (JWN).

Di Malaysia hanya ada 42 konservator bangunan dan seorang daripadanya Profesor Madya Dr Siti Norlizaiha Harun yang mula berkecimpung dalam bidang itu sejak 2001.

Kepakarannya dalam bidang pemuliharaan bangunan warisan amat disegani apabila diberi tanggungjawab mengendalikan projek pemuliharaan Kota Cornwallis di Pulau Pinang, Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Perak, Bangunan Warisan Suluh Budiman, Perak dan terkini Bangunan Dewan Bandaran dan Pejabat Pos Lama, Ipoh, Perak.

Malah, dia pernah dipinjamkan menjadi Timbalan Pesuruhjaya Warisan di Jabatan Warisan Negara pada 2012.

Bukan itu sahaja, dari segi akademik, dia bertugas sebagai Ketua Pengajian Perancangan Bandar & Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dr Siti Norlizaiha berkata, minat terhadap usaha 'menyelamatkan' bangunan bersejarah tercetus ketika melanjutkan pengajian dalam bidang Perumahan, Bangunan dan Perancangan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

DEWAN Bandaran dan Pejabat Pos Lama, Ipoh Perak sedang dipulihara.
DEWAN Bandaran dan Pejabat Pos Lama, Ipoh Perak sedang dipulihara.

"Mengikut perancangan, saya ingin jadi arkitek atau perancang bandar namun berubah minat ketika belajar mengenai kepentingan memulihara bangunan bersejarah.

"Saya tertarik dengan bidang pemuliharaan bangunan warisan ini kerana membabitkan sejarah, kebudayaan, hubungan dengan masyarakat dan menarik kehadiran pelancong ke negara ini," katanya.

Menurutnya, kerjaya sebagai konservator bangunan di negara ini masih baru iaitu bermula secara rasmi pada 2015 sebagai antara usaha JWN memulihara bangunan warisan mengikut amalan pemuliharaan terbaik di peringkat antarabangsa.

"Pada saya, ini antara usaha yang baik dan harus dipuji kerana dengan mewujudkan kerjaya ini, bangunan bersejarah bukan sekadar dibaik pulih, malah dapat diwartakan sama ada sebagai warta warisan dan warta kebangsaan yang tertakluk di bawah akta," katanya.

Mengulas lanjut, sebagai konservator bangunan, dia bertanggungjawab merancang, melaksana dan menguruskan projek.

"Peranan dan tanggungjawab bermula dari mengenali bangunan, memahami dan mengenal pasti kerosakan, merancang kerja dan aplikasi prinsip dan garis panduan, merawat dan memulihara bahan berasaskan keputusan saintifik.

"Selain itu, tanggungjawab paling utama merekod dan mendokumentasi sejarah baharu bangunan membabitkan keseluruhan proses dan teknik pemuliharaan bangunan," katanya.

Jelasnya, bidang ini sangat mencabar kerana banyak berkait dengan aspek teknikal dan saintifik.

SITI Norlizaiha (dua dari kanan) bersama Pasukan Perunding Projek Pemuliharaan Bangunan Warisan.
SITI Norlizaiha (dua dari kanan) bersama Pasukan Perunding Projek Pemuliharaan Bangunan Warisan.

"Satu proses paling penting ialah penyiasatan dan uji kaji bahan. Kesepadanan bahan untuk gantian kepada bahan yang rosak bukan hanya dilihat pada rupa dan tekstur sahaja, malah kekuatan dan kestabilan bahan baharu turut dititik beratkan. Aspek ini bagi memastikan bangunan dipulihara kekal lebih lama.

"Selain kepakaran teknikal, pemuliharaan bangunan membabitkan bidang pelbagai disiplin termasuk ahli sejarah, jurutera, arkitek, juru ukur bahan dan ahli kimia," katanya.

Pada masa sama, dia perlu membuat kajian dan penyelidikan terperinci berkenaan sejarah bangunan termasuk dari aspek asal usul tapak, seni bina, hubungan individu dan peristiwa sebelum kerja pemuliharaan dilaksanakan.

"Apabila terbabit dalam satu-satu projek, saya suka menggali dan mengkaji cerita tersurat dan tersirat di sebalik pembinaan setiap bangunan ini. Apabila melangkah masuk ke dalam bangunan, ia (bangunan) seolah-olah bercerita berkenaan sejarahnya kepada saya.

"Melalui bangunan lama, saya dapat pelajari sumber bahan yang digunakan, teknologi dan struktur bangunan termasuklah seni bina bangunan.

"Maklumat penting ini diperoleh daripada bahan bertulis, bahan visual atau temu bual amat penting untuk memulihara bangunan kepada asal," katanya.

Katanya, dalam menguruskan bangunan lama antara cabaran yang dihadapi untuk mendapatkan tenaga kerja mahir yang semakin berkurangan.

MASJID Lama Kampung Kuala Dal selepas dipulihara untuk generasi akan datang.
MASJID Lama Kampung Kuala Dal selepas dipulihara untuk generasi akan datang.

"Contohnya untuk projek pemuliharaan Masjid Lama Kampung Kuala Dal yang dipulihara sebagaimana asal dibina pada 1936. Kami berdepan kesukaran mencari penganyam dinding kelarai kerana kini ramai lebih fokus untuk menghasilkan kraf cenderamata.

"Selepas berusaha mencari, akhirnya kami mendapatkan khidmat penganyam kelarai di Perlis yang menyediakan perkhidmatan itu pada skala industri untuk resort," katanya.

Anak jati Kota Bharu, Kelantan ini berkata, sebagai konservator, kepuasan iperoleh melalui tugasnya apabila dapat memulihara khazanah warisan negara.

"Saya bangga melihat bangunan dahulu terbiar dan kusam kini menjadi baharu selepas melalui proses pemuliharaan. Ia memberi gambaran sejarah negara tidak ditinggalkan begitu sahaja dan masih menjadi bukti tersurat untuk tatapan generasi kini.

"Harapan saya, pendedahan terhadap pemuliharaan warisan ini dimulakan daripada kanak-kanak untuk memupuk minat dan kesedaran mengenai kepentingan usaha ini kepada negara," katanya.

TURUT menghasilkan buku Pemuliharaan Bangunan Warisan. - FOTO Faiz Anuar
TURUT menghasilkan buku Pemuliharaan Bangunan Warisan. - FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 7:01 AM