Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan agar bendera Negeri Sembilan dikibarkan separuh tiang pada Isnin ini.

Ia bagi menzahirkan penghormatan Baginda kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada usia 96 tahun, 9 September lalu.

Titah berkenaan juga sebagai tanda menghormati kemangkatan Baginda Ratu di Istana Balmoral, Scotland selepas 70 tahun menduduki takhta yang juga monarki paling lama bertakhta dalam sejarah United Kingdom.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, kerajaan Negeri Sembilan menjunjung titah atas perkara berkenaan.

"Kerajaan negeri mengarahkan semua jabatan serta agensi di negeri ini agar mengibarkan bendera Negeri Sembilan separuh tiang pada tarikh yang ditetapkan itu," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Media sebelum ini melapor upacara pengebumian negara untuk Ratu Elizabeth II dijadual akan berlangsung seminggu mulai 19 September ini di Westminster Abbey.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 9:24 PM