LUKISAN serta kata-kata dari hati sanubari rakyat kepada ratu kesayangan mereka. - AFP
LUKISAN serta kata-kata dari hati sanubari rakyat kepada ratu kesayangan mereka. - AFP
Syah Rul Aswari Abdullah


Isnin, dunia sekali lagi tertumpu di London. Lebih tepat lagi di Westminster Abbey. Ia bagi menyaksikan istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II.

Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, pada Khamis, 8 September lalu.

Kira-kira 500 pemimpin negara dan tetamu asing dijangka menghadiri upacara di Westminster Abbey itu. Ini termasuk ahli keluarga diraja Eropah yang kebanyakannya mempunyai pertalian darah dengan Elizabeth.

Antara pemimpin utama dunia yang dijangka hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang akan hadir bersama isterinya, Jill. Malaysia diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli ke upacara berkenaan.

Upacara Isnin ini dijangka ditonton oleh 4.1 bilion orang.

Ramalan ini berdasarkan populariti Ratu Elizabeth II. Usianya yang panjang menjadikan hampir sebahagian besar masyarakat hari ini membesar dengan hanya mengetahui Elizabeth sebagai ratu UK.

Umum mengetahui, baginda adalah pemerintah diraja paling lama bertakhta di United Kingdom iaitu 70 tahun. Ia mengatasi moyangnya iaitu Ratu Victoria yang memerintah selama 63 tahun.

Elizabeth yang ditabalkan menjadi Ratu pada usia 25 tahun kekal memerintah sehingga akhir hayatnya. Ketika beberapa raja di Eropah - Ratu Beatrix (Belanda), Raja Albert II (Belgium) dan Raja Juan Carlos I (Sepanyol), antara 2013 dan 2014 - turun takhta, Elizabeth terus kekal sebagai ketua negara.

Beberapa hari sebelum mangkat, baginda masih menjalankan tugas rasmi dengan bertemu dengan Perdana Menteri baharu UK iaitu Liz Truss. Ini adalah perdana menteri ke-15 sepanjang pemerintahan Elizabeth, sejak yang pertama iaitu Winston Churchill.

Sepanjang tujuh dekad pemerintahannya, Elizabeth dilihat berjaya mengekalkan populariti monarki Britain. Ia biarpun berdepan dengan pelbagai isu termasuk membabitkan skandal pasangan daripada keluarga diraja.

Paling terburuk adalah pada 1992. Ia apabila dua anaknya, Charles dan Andrew mengumumkan perpisahan dengan isteri manakala anak perempuan tunggal, Puteri Anne, bercerai.

Kebanyakan pemerhati berpendapat, keutuhan monarki Britain ini kerana sikap istana yang bersedia melakukan perubahan berdasarkan sentimen rakyat dan keperluan semasa.

Ini termasuk selepas kematian Diana dalam kemalangan tragis di Paris pada 1997. Istana pada masa itu memecah tradisi dengan memberikan puteri itu, pengebumian diraja. Ia meskipun, Diana - secara teknikalnya - bukan lagi keluarga diraja, apabila bercerai dengan Charles.

Selain itu, baginda juga secara sukarela bersetuju untuk membayar cukai pada 1992. Ia selepas rakyat mempersoalkan cadangan supaya dana kerajaan digunakan untuk membayar kerja membaik pulih Istana Windsor yang terbakar pada tahun sama.

Tindakan-tindakan ini dilihat sebagai reaksi segera bagi menangani sentimen dan kritikan orang awam terhadap mornarki pada masa itu.

Hal ini menyebabkan ahli keluarga diraja dan golongan elit politik menzahirkan kekaguman terhadap Elizabeth. Baginda dilihat dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dan pada masa sama mengekalkan kedudukan dan popularitinya.

   

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 7:01 AM