NIWANA (kiri) bersama   penternak arnab yang aktif di Kelantan   ketika ditemui di Bachok Rabbit Farm.
NIWANA (kiri) bersama penternak arnab yang aktif di Kelantan ketika ditemui di Bachok Rabbit Farm.
Nor Amalina Alias


BACHOK: Jika sebelum ini arnab dijadikan sebagai haiwan peliharaan saja tetapi kini hobi itu boleh menyumbang kepada keuntungan ribuan ringgit kepada pemiliknya berikutan dagingnya mula diminati orang ramai.

Harga arnab pedaging mampu mencecah RM150 ke RM800 seekor bagi induk dan RM35 hingga RM45 sekilogram bagi arnab yang siap diproses iaitu dua kali ganda mahal daripada daging lembu atau ayam.

Faktor dagingnya yang dikatakan mampu merawat angin ahmar selain permintaan sebagai menu hidangan seperti sate arnab dan sup menjadikan penternakan arnab kini bukan lagi sekadar hobi biasa.

Penternak arnab, Niwana Abdullah, 39, berkata, dia hanya bermula dengan modal RM150 bagi membeli tiga ekor arnab sebagai peliharaan, tetapi haiwan itu membiak dengan cepat sebelum dia mengambil keputusan untuk menjualnya selepas ramai bertanya untuk membelinya.

"Kini, saya mampu menjana pendapatan ribuan ringgit hasil dengan menjual arnab.

"Sehingga kini, saya mempunyai 120 ekor arnab jenis New Zealand White dan Chincilla termasuk 60 induk yang dijadikan baka.

"Arnab berusia dua bulan dengan berat sekurang-kurangnya 1.6 kilogram ke atas sudah boleh dijual dan boleh dijadikan induk baka ketika berusia tiga bulan ke atas," katanya ketika ditemui di Bachok Rabbit Farm, semalam.

Niwana antara 55 penternak arnab yang aktif di Kelantan ditemui dalam majlis Kursus Penternakan Arnab Sebagai Sumber Rezeki Baru dan Taklimat Pembiayaan Geran Kerajaan Agropreneur Muda anjuran Pertubuhan Darul Naim Gemilang.

Majlis dirasmikan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Wan Mohd Johari Wan Omar

Turut hadir, Pengarah Veterinar Negeri Kelantan, Dr Suratan Kamaruddin dan Pengerusi Pertubuhan Darul Naim Gemilang Syahidul Amri Khairuddin.

Seorang lagi penternak yang juga pemandu teksi, Muhammad Amin Ismail, 42, berkata, dia mengusahakan ternakan arnab kerana meminati haiwan itu sejak kecil, tetapi tidak menyangka mendapat permintaan luar jangka sehingga tidak menang tangan.

"Saya belajar mengenai penjagaan arnab melalui YouTube selain daripada rakan penternak lain terutama dari segi pengurusan dan kawalan penyakit arnab," katanya.

"Permintaan arnab pedaging sangat tinggi cuma kita nak jual semua tak boleh sebab nak buat induk, jadi kalau ada bantuan kewangan, kita boleh ternak lebih banyak arnab untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya yang menjual arnab melalui promosi di laman sosial dan penduduk sekitar.

Sementara itu, Wan Mohd Johari berkata, penternakan arnab antara potensi ternakan yang menjadikan pertanian sebagai pilihan orang muda khususnya bagi yang menganggur.

"MOA memperuntukkan RM20 juta bagi program agropreneur muda dengan anggaran RM10,000 ke RM20,000 bagi setiap petani atau penternak.

"Ini termasuk kepada penternak arnab di mana kita sasar menu haiwan ini setanding dengan permintaan terhadap kambing yang menjadi menu harian sebagai hidangan di restoran atau keraian, kita nak permintaan arnab begitu juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 6:59 AM