Amirul Aiman Hamsuddin


HASRAT 21 warga Indonesia memasuki negara ini melalui lorong tikus gagal apabila ditahan polis di Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam, pada 4 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bersama anggota dari Balai Polis Sungai Air Tawar, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tebuk Mufrad dan penduduk kampung melakukan serbuan berkenaan hasil maklumat risikan dan aduan awam.

Beliau berkata, hasil serbuan, pendatang asing tanpa izin (Pati) terdiri daripada 16 lelaki dan lima perempuan berusia 25 hingga 50 tahun dipercayai baharu mendarat di kawasan Pantai BNO berjaya dicekup.

“Semua Pati disyaki warga Indonesia itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka dibawa ke IPD Sabak Bernam untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Agus Salim berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua terbabit terutama KRT Tebuk Mufrad di atas maklumat dan kerjasama diberi.

Beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama penduduk supaya sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, penyeludupan dan Pati supaya tindakan segera dapat diambil bagi membanteras kegiatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 4:01 PM