GAMBAR hiasan. Ekspo 2020 Dubai. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Ekspo 2020 Dubai. FOTO AFP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia berjaya memperoleh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai lebih RM100 juta yang ditandatangani antara tiga PKS tempatan dengan tiga rakan niaga berpotensi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena Ekspo 2020 Dubai.

Tiga syarikat itu sebahagian daripada 17 syarikat permulaan (startup) dan PKS Malaysia berprestasi tinggi yang menyertai delegasi Malaysia ke Expo 2020 Dubai Minggu PKS Malaysia.

Syarikat terbabit ialah Propeasy Sdn Bhd dan Mahaley Marketing, Fario Holdings Sdn Bhd dan Miko Koffie NV of Belgium, serta Govicle Sdn Bhd dan Six Day Company LLC.

Minggu PKS Malaysia di Ekspo diketuai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi agensi pelaksana iaitu SME Corp yang memfokuskan kepada syarikat permulaan dan PKS dalam memacu pembangunan ekonomi negara melalui syarikat berteraskan inovasi.

Turut serta dalam delegasi ini ialah SME Bank Berhad dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

Ketua Setiausaha Medac, Datuk Suriani Datuk Ahmad berkata, pembabitan Medac di Expo 2020 Dubai adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia dalam membangkitkan semula peranan syarikat permulaan dan PKS sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongan dan kerjasama dengan pelabur dan rakan perniagaan berpotensi.

"Ini akan membantu dalam mempertingkatkan ekosistem permulaan bagi memenuhi keperluan industri global.

"Dalam hubungan ini, 17 syarikat permulaan dan PKS berprestasi tinggi dari Malaysia telah terpilih untuk diperkenalkan kepada rakan perniagaan global yang berpotensi di Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai, UAE," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di sini.

Sementara itu, fokus industri yang diketengahkan melalui syarikat permulaan dan PKS pada kali ini membabitkan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan inovasi, perubatan dan kesihatan serta perkhidmatan berkaitan Dron.

Selain itu, syarikat yang menyertai Ekspo ini akan terbabit secara langsung dalam aktiviti yang dianjurkan di Pavilion Malaysia seperti sesi pemadanan perniagaan, sesi pengenalan produk dan perkhidmatan serta pitching perniagaan kepada pelabur berpotensi.

Syarikat berkenaan telahdibimbing oleh SME Corp Malaysia serta beberapa agensi Medac lain. Ia terpilih kerana bersedia untuk mencapai standard antarabangsa bagi perkhidmatan ataupun barangan yang dipasarkan.

Dalam usaha merancakkan sinergi pembabitan Medac bersempena Ekspo 2020 Dubai, dua program tambahan turut dilaksanakan serentak iaitu Export Acceleration Mission dan Business Export Program 2.0 oleh SME Bank membabitkan 11 syarikat PKS Bumiputera dan Franchise Engagement Programme oleh Pernas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 12:10 PM