Gambar Hiasan.
Gambar Hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Empat wanita antara enam individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sejak 2016 hingga 2021.

Difahamkan, kesemua suspek berusia 30 hingga 59 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor pada 5 petang.

Menurut sumber, tiga daripada suspek adalah Ketua Pegawai Operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan.

"Mereka dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit kerja menaik taraf saliran serta projek tebatan banjir di Selangor, sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan.

"Projek pertama iaitu kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000, manakala projek tebatan banjir pula bernilai lebih RM600,000," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman, pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 8:10 PM