Skandal rasuah membabitkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis tidak menjejaskan proses pembinaan projek Tebatan Banjir Lencongan Barat.
Skandal rasuah membabitkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis tidak menjejaskan proses pembinaan projek Tebatan Banjir Lencongan Barat.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KERAJAAN Negeri Perlis menafikan dakwaan skandal rasuah membabitkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis antara faktor utama projek Tebatan Banjir Lencongan Barat gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, penahanan pengarah terbabit kelmarin sedikit pun tidak menjejaskan proses pembinaan projek berkenaan yang kini masih diteruskan.

"Projek itu (Tebatan banjir lencongan barat) masih berjalan seperti biasa meskipun Pengarah JPS negeri sudah ditahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berhubung tuduhan skandal rasuah dihadapinya.

“Malah masih ada pegawai dari pihak JPS sendiri baik di negeri ini dan ibu pejabat di Kuala Lumpur yang memantau projek terbabit yang kini sedang berjalan mengikut jadual  ditetapkan.

"Jadi tidak timbul bahawa projek berkenaan tertangguh atau terjejas disebabkan skandal rasuah yang membabitkan pengarah JPS negeri," katanya ketika ditemui pada Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 di Tapak Nat Behor Lateh, Kangar, di sini, hari ini.

Azlan berkata, pihak kerajaan negeri tidak mahu mengulas lanjut isu berkenaan memandangkan ia masih di peringkat siasatan SPRM.

"Saya tidak mahu sekiranya ada pihak yang masih mengulas isu ini kerana ia seakan memberi ruang kompromi ke atas siasatan yang dilakukan oleh SPRM.

"Lagipun perkara ini masih dalam siasatan dan belum ada tuduhan yang membuktikan bahawa beliau (Pengarah JPS) bersalah, jadi kita jangan terlalu cepat menghukum seseorang melalui penahanan ini," katanya.

Azlan berkata demikian ketika mengulas lanjut mengenai penahanan pengarah JPS Perlis bersama dua lagi individu oleh SPRM yang membabitkan skandal rasuah bernilai lebih RM5 juta.

Harian Metro hari ini melaporkan  projek Tebatan Banjir Lencongan Banjir sepanjang 22 kilometer (km) dari Timah Tasoh ke Kuala Perlis antara projek berskala besar didakwa terbabit skandal rasuah membabitkan Pengarah JPS Negeri Perlis sehingga ia lewat disiapkan mengikut jadual sejak mula dijalankan pada 2014 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 11:04 AM