LABUAN. FOTO BERNAMA
LABUAN. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) digesa untuk menghalang pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci dalam kalangan imigran warga Filipina dari Sabah daripada memasuki pulau bebas cukai itu.

Senator Datuk Bashir Alias berkata, selain itu, pemegang kedua-dua dokumen terbabit di pulau ini perlu diberi kebenaran untuk pulang ke Sabah selari dengan polisi tiada aliran bebas yang akan dikuatkuasakan di terminal feri roll on roll off dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengarahkan JIM untuk menguatkuasakan kawalan lebih ketat di dua terminal feri di sini, terutama terhadap pengembara bukan penduduk Sabah yang ingin ke tanah besar negeri itu.

Bashir berkata dokumen untuk imigran Filipina di Sabah dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Imigresen negeri, justeru, pemegang dokumen sepatutnya tidak dibenarkan mengembara di luar Sabah.

"Kami menganggarkan kira-kira 12,000 imigran Filipina berada di pulau bebas cukai ini, kami bimbang jumlahnya meningkat kerana tiada pengawalan ketat di Sabah.

"Kami juga tidak mahu melihat pemegang dokumen ini terkandas di Labuan jika imigresen di terminal feri menghalang mereka daripada masuk ke Sabah," katanya.

Menurutnya, Labuan hanya mengiktiraf pemegang dokumen IMM13 serta warga asing dengan pasport antarabangsa berserta permit kerja untuk tinggal dan bekerja di sana.

"Kami menyambut baik pemeriksaan imigresen yang lebih ketat di terminal feri seperti yang diarahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin, memandangkan kami memahami situasi itu, tetapi mereka juga perlu melihat kepada peningkatan jumlah imigran Filipina dengan Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di pulau ini," katanya.

Katanya, kerajaan Sabah juga perlu melihat keperluan untuk melaksanakan pemeriksaan imigresen di Jeti Menumbok bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai dokumen perjalanan sah saja dibenarkan menaiki feri atau bot penumpang ke Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 4:05 PM