SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam operasi bersepadu di Kota Kinabalu, baru-baru ini. FOTO ihsan polis.
SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam operasi bersepadu di Kota Kinabalu, baru-baru ini. FOTO ihsan polis.
Hairulazim Mahmud


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa pemegang status Pas Sementara Sabah (PSS) kekal sebagai warga asing.

Menurut KDN, dokumen itu bukan jaminan untuk diberikan permit masuk, taraf pemastautin sementara, pemastautin tetap atau kewarganegaraan.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa PSS bukan untuk memberikan kewarganegaraan.

“PSS adalah satu inisiatif murni kerajaan untuk menangani masalah pemalsuan dokumen di Sabah.

“Ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan nombor ID bagi memudahkan proses pengecaman, semakan dan pengesahan semasa operasi penguatkuasaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

KDN berkata, mulai 1 Jun tahun ini, pengeluaran PSS hanya akan dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah selepas permohonan diperakukan kerajaan negeri.

Katanya, proses semakan silang di antara agensi pengeluar iaitu JIM, Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dilaksanakan bagi memastikan pemohon memegang dokumen tulen sahaja layak untuk dikeluarkan PSS.

“Satu pasukan petugas khas ditubuhkan di peringkat negeri yang dipengerusikan secara bersama JKM dan MKN negeri dengan dianggotai pelbagai agensi bagi meningkatkan tadbir urus yang berkesan dalam pelaksanaan dasar dan pemantauan operasi dokumen itu.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin mengingatkan semua pihak supaya merujuk kepada sumber sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja cuba memutarbelitkan fakta demi agenda sendiri," katanya.

Isu PSS dimainkan pembangkang dalam kempen mereka menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis ketika ini.

Barisan Nasional (BN) mendakwa, PSS adalah satu ancaman kepada penduduk tempatan Sabah dan menyifatkannya sebagai penipuan Warisan terhadap rakyat negeri itu.

Pada 6 September lalu, kerajaan mengumumkan PSS akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata dokumen itu akan menggantikan ketiga-tiga jenis dokumen sedia ada dimiliki warga asing yang sudah lama menetap di negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 5:04 PM