Hamzah Zainudin pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu hari ini. FOTO BERNAMA
Hamzah Zainudin pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu hari ini. FOTO BERNAMA
Rafiqah Dahali


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) bercadang menyeragamkan dokumen pengenalan diri warga asing sebagai salah satu langkah untuk mengenal pasti dan mengurus lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, strategi terbabit disebabkan terlalu banyak dokumen yang diberikan kepada warga asing di sini sehingga menyukarkan untuk menjejak golongan PATI yang tidak mempunyai dokumen.

"Kita rasa terlalu banyak dokumen daripada HIF22, Kad Burung-Burung dan kemudian Sijil Banci. Jadi kita mahu perbetulkan supaya hanya tinggal satu dokumen sahaja digunakan dan selebihnya itu dibatalkan.

"Ini adalah strategi kita bagi memastikan mereka yang diberikan kad IMM13 untuk kita membuat regularisasi supaya kita tahu mereka adalah pendatang asing.

"Jadi kita boleh menghubungi kedutaan negara yang terlibat untuk maklumkan agar mereka diberikan dokumen sah.

"Jika mereka mempunyai dokumen, mereka boleh berada di negara kita dengan bertaraf sebagai warganegara asing," katanya pada satu sidang media selepas taklimat dalam lawatan ke Pusat Tahanan Sementara, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam sidang media terbabit, beliau berkata, seramai 136,000 warga asing mempunyai dokumen sah di Sabah.

"Ada yang pakai dokumen IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung. Bagi mereka yang ada pasport, kita tentukan mereka duduk di sini sebagai warga asing.

"Kita akan selesaikan masalah ini terlebih dahulu dan kemudian kita akan ambil langkah seterusnya atau strategi kedua untuk memastikan kita dapat seimbangkan dengan mereka yang mempunyai dokumen sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:36 PM