TERMINAL Feri Antarabangsa WP Labuan. FOTO Arkib NSTP
TERMINAL Feri Antarabangsa WP Labuan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Pemeriksaan kawalan keluar dan masuk bagi semua pergerakan pelawat antara Labuan dan Sabah akan berkuat kuasa, esok.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penguatkuasaan ini selaras dengan keperluan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kawalan sempadan di Sabah.

Menurutnya, ketika ini pemeriksaan hanya dijalankan secara rawak bagi pergerakan keluar masuk pelawat antara Labuan dan Sabah.

Katanya, penguatkuasaan ini susulan lawatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ke Labuan pada 10 September lalu.

Menurutnya, dalam lawatan itu Hamzah mengarahkan JIM untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat bagi pergerakan pelawat dari Terminal Feri Antarabangsa WP Labuan dan Terminal Feri RO-RO, WP Labuan ke Sabah.

"Arahan dikeluarkan ini selaras dengan permintaan Kerajaan Sabah supaya pemeriksaan Imigresen dilaksanakan ke atas pelawat yang memasuki Sabah dari Labuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pemeriksaan keluar dan masuk dari Labuan ke Jeti Jesselton Point dan Jeti Tanjung Pagar, Sabah akan diadakan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Menurutnya, bagi pemeriksaan masuk pelawat dari Labuan ke Jeti Menumbok, Sabah pula akan diadakan di Jeti RO-RO WP Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Katanya, pergerakan keluar pelawat dari Jeti Menumbok, Sabah ke Labuan akan diadakan di Jeti Menumbok, Sabah.

"Dengan ini, semua kategori pelawat akan menjalani pemeriksaan Imigresen untuk keluar dan masuk antara Labuan dan Sabah," katanya.

Beliau berkata, pelawat yang disekat masuk atau keluar dengan arahan dari pihak berkuasa Sabah perlu memohon Surat Kemudahan Pelepasan bagi tujuan pergerakan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa pengecualian akan diberikan khususnya kepada warganegara yang menetap di Labuan dan berulang alik ke Sabah untuk tujuan bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 8:16 PM